Majlis perkahwinan penyanyi rap MK K-Clique dengan pasangannya iaitu Siti Hajaar masih menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial sehingga kini biarpun ia sudah berlangsung beberapa hari lalu.

Terbaharu, pendedahan jurusolek kepada Siti Hajaar yang dikenali sebagai Nurul MF mengenai pasangan itu turut mendapat perhatian netizen.

Nurul MF mendedahkan penyanyi itu memintanya untuk melabuhkan sedikit tudung yang digayakan isterinya sewaktu melangsungkan majlis resepsi di sebuah hotel di Klang, pada Sabtu lalu.

“Kak, minta tolong labuhkan lagi tudung isteri saya,” kata MK K-Clique.

Jurusolek berkenaan berkongsi mengenai perkara itu menerusi satu hantaran video di laman Instagram miliknya @makeupbynurulmf, baru-baru ini.

Rata-rata netizen turut memuji MK yang sentiasa menjaga baik aurat Siti Hajaar selain turut menyukai penampilan isteri penyanyi itu yang kelihatan ayu dan sopan.

“Dalam banyak-banyak pasangan, aku rasa diorang ni la yang belum ada komen negatif. Memang cantik ayu isteri MK.

“Nak cakap dia cantik sangat itu tidaklah tapi keperibadian, pembawakan diri dia yang menampakan diri dia cantik sangat.

“Walau rappers, tetap utamakan Allah… utamakan aurat isteri. Salute!” komen beberapa netizen.

Dalam pada itu, jurusolek tersebut turut menyifatkan Siti Hajaar sebagai wanita bertuah kerana dimiliki oleh lelaki yang tepat sebagai pasangan hidup.

“Alhamdulillah, awak memilih lelaki yang betul Hajaar. Semoga Allah terus pelihara kalian berdua Mk dan Hajaar,” ujarnya.

Untuk info, MK dan Siti Hajaar selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid Jamiul Huda, Ampang, Selangor, pada 16 Jun lalu.