Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Noor mendedahkan pernah menolak seorang pelakon terkenal dari berlakon di bawah syarikat penerbitannya Suhan Movies.

Kata Rosyam Noor dia terpaksa menolak pelakon terkenal yang tidak mahu didedahkan identitinya itu dari terbabit dalam produksinya kerana sikapnya yang berlagak dan kurang menyenangkan.

“Sepanjang karier saya, saya akui pernah berdepan dengan pelakon yang ada sifat berlagak.

“Pelakon itu datang ke pejabat saya kerana saya ada tawarkannya untuk satu watak heroin. Namun tak sangka dia dengan berlagaknya memberitahu cerita yang saya tawarkan tidak sesuai dengan dia untuk kembangkan kerjaya dia.

“Saya ada cuba yakinkan dia tapi bila cara berkomunikasi dengan orang lebih senior nampak macam tidak menyenangkan…saya buat keputusan untuk ‘reject’ sahaja dia.

“Kadang-kadang jadi artis ini, dia rasa diri dia besar. Saya pun tak mahu buang masa untuk melayannya,” katanya kepada Astro Gempak.

Rosyam berkongsi perkara tersebut ketika sidang media secara maya drama Cik Ayu Mee Sanggul yang berlangsung semalam.

Drama yang ditayangkan menerusi slot Megadrama Astro Ria sejak Isnin itu turut membariskan Amelia Henderson, Aqasha, Cat Farish, Shiqin Kamal, Fimie Don dan Rosyam sendiri.

Sementara itu, Rosyam turut mengulas mengenai munculnya ramai pelakon dari kalangan instafamous.

"Saya faham sekarang ni zaman internet iaitu ramai yang popular dikenali sebagai influencer atau instafamous. Macam zaman saya zaman majalah dan surat khabar sahaja.

"Saya tak salahkan mereka jika benar mereka datang atas niat nak berlakon. Tapi kena pastikan ia kerana minat atau sekadar hanya mahu dikenali untuk kejar benda lain yang nak dibuat?

“Itulah sebabnya kejujuran itu penting. Untuk bawa watak utama susah sikit kerana mereka tiada pengalaman dan perlu banyak menimba ilmu,” katanya lagi.

Sedikit mengenai drama bersiri Cik Ayu Mee Sanggul, ia merupakan sebuah naskah asal yang mengangkat genre komedi romantik terbitan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Cik Ayu Mee Sanggul memaparkan pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini seorang duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang menghidap penyakit Mayor Talasemia.

Saksikan Cik Ayu Mee Sanggul yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam sejak 27 Julai lalu menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.