Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Kak Ani Kongsi Cerita Masuk Alam Bunian - "Muka Mereka Sebelah Cantik Sebelah Lagi ..."

Amri Hassan 29/04/2025 | 11:50 MYT
Ratu Irama Tradisional dan Etnik Kreatif, Noraniza Idris, mendedahkan pengalaman uniknya 'masuk' ke alam bunian dan menyaksikan sendiri suasana di perkampungan makhluk ghaib itu.

BERITA TRENDING: Noraniza Idris Trauma Nak Buat Konsert, Pernah Terima Cek Tendang Penaja! - "Sampai Sekarang Masih Takut Kena Scam"

BERITA TRENDING: Kak Ani Menangis, Sujud Syukur... Batal Niat Tutup Kilang Muruku - "Hampir Jatuh Terduduk, Datang Rezeki Ini"

Dalam satu episod di Safwan Nazri Podcast, Noraniza, atau mesra dipanggil Kak Ani, berkongsi bahawa pengalaman itu berlaku ketika beliau menguruskan sebuah pusat pelancongan di Melaka.
Ketika menghadapi masalah di lokasi tersebut, Kak Ani mendapatkan bantuan daripada individu yang arif dalam ilmu alam ghaib untuk memulihkannya.
"Saya tahu keadaan asal tempat itu taman yang indah. Tapi bila saya buka mata, saya nampak belukar, sungai cetek, dan jambatan. Ia merupakan kawasan padang luas berbukit, yang menjadi tempat perhimpunan orang-orang bunian," katanya.
Menurut Noraniza, individu berilmu itu membawanya berjalan ke satu kawasan berdekatan pejabatnya yang digambarkan sebagai pusat bandar yang sangat sibuk di dunia bunian.
"Dia berpesan supaya tidak bersuka ria di kawasan itu antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang kerana ia waktu kemuncak aktiviti mereka," tambahnya.
Kak Ani turut menceritakan, orang bunian yang dilihatnya hidup seperti manusia biasa, berpakaian sederhana seperti masyarakat kampung era 1940-an, lengkap dengan basikal. Namun, wajah mereka aneh, satu bahagian cantik, satu bahagian lagi sebaliknya.
"Wallahualam, itu yang saya lihat. Orang berilmu itu mengesahkan cerita saya," jelasnya.
Sepanjang menguruskan pusat tersebut, Kak Ani memahami kawasan-kawasan yang perlu dihormati, terutama untuk keselamatan kanak-kanak yang sering mengikuti program kebudayaan di situ.
"Bila kanak-kanak datang, saya ingatkan supaya rehat pada waktu-waktu tertentu. Kadang-kadang bila kita pandang, memang nampak aktiviti ghaib berlaku," katanya.
Penyanyi lagu Dikir Puteri itu turut diminta membuat perjanjian dengan 'penghuni' tanah tersebut bagi memastikan kelancaran urusan dan mengelakkan sebarang gangguan.
Kak Ani juga berkongsi bahawa anak-anak didiknya sering mengalami gangguan mistik, terutama ketika menginap di kawasan tersebut untuk program kebudayaan.
"Kebanyakan belia yang datang menginap sering diganggu. Kadang-kadang, semasa ke tandas, mereka terlihat kelibat terbang. Kawasan itu agak terbuka, dan tandas terletak jauh dari pusat budaya, perlu melintasi pokok besar dan rumah kosong," jelasnya.
Akibat gangguan yang berulang, Kak Ani akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan pihak berilmu bagi memulihkan tempat itu. Bagaimanapun, Kak Ani enggan mendedahkan lokasi tepat pusat pelancongan berkenaan.
#Penyanyi #Viral #Noraniza Idris #Seram #Podcast #Kak Ani #Bunian