Kalau disebut nama pelawak, pelakon dan penyampai radio ini dengan nama asalnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, mungkin segelintir sahaja yang mengenalinya berbanding dengan nama komersialnya, Jep Sepahtu.

Bertemu dengan Jep dan bercerita tentang musim terbaru Sepahtu Reunion Live 2020, ternyata ada sedikit perubahan pada wajahnya seperti ada perkara yang mengganggu di fikiran.

"Sebenarnya benda ni sama sahaja dengan musim-musim sebelum ni. Cuma bezanya tahun ni tidak ada penonton dan saya boleh katakan 90% kita hilang semangat tu. Buat lawak ni macam kita main ping pong, kena ada tindak balas balik. Bila tak ada balasan balik kita pun nak pukul macam mana sebab kita tak dapat tenaga daripada penonton.



"Walaupun mungkin ada yang tidak puas hati, kami semua dah buat segala yang termampu kami buat untuk menghiburkan semua. Cuma memang pada saya sebagai pelawak, kami tidak boleh beraksi tanpa penonton. Sebelum ni buat lain-lain program lawak biarpun hanya sekadar rakaman, penonton tetap ada dalam studio. Bayangkan Sepahtu Reunion ini pula disiarkan secara langsung.

Berlainan dengan menyanyi, kalau kat toilet pun kita boleh menyanyi sorang-sorang, kalau dalam kereta pun sama. Berbeza dengan melawak ni, kita perlukan pendengar dan dapat melihat respon mereka terhadap lawak kita. Ianya akan membuatkan kita mampu membalas balik dengan pantas dan spontan," jelas Jep.

Ditanya kenapa dia kelihatan lebih memberi dan lebih kelakar berbanding dengan ahli Sepahtu yang lain, pantas Jep menjelaskan keadaannya.



"Saya tidak rasa saya seorang saja yang memberi. Mereka semua memberi lebih daripada 100% setiap kali kami masuk ke set. Saya rasa secara kebetulan sahaja orang nampak saya memberi kerana saya berada pada situasi yang membolehkan saya lebih spontan.

Benda-benda seperti ni nak kena pantas apatah lagi ini siaran langsung. Jadi saya cuba terapkan apa yang pernah saya buat sebelum-sebelum ini untuk dimasukan secara spontan dan kebetulan ianya menjadi.

"Kalau kita terlepas saat tersebut walaupun hanya lima saat mungkin ianya sudah tidak kaitan lagi dengan penceritaan yang dah berlalu dan untuk kita tarik balik mungkin orang dah tak dapat tangkap.

"Saya rasa saya berada di situasi yang membantu saya. Mungkin dari segi kecepatan tu, saya rasa sama sahaja dengan kawan-kawan yang lain. Saya tak boleh nafikan kebolehan mereka kerana saya tak akan mampu buat berseorangan. Semuanya ada peranan masing-masing. Cuma kebetulan saya boleh 'react' pada situasi yang berlaku pada saya, dan saya rasa kalau rakan-rakan lain berada di tempat saya, merekapun akan 'react' seperti saya," jelas Jep lagi.

Menurut Jep, terlalu sukar untuk melakukan lawak spontan apabila tidak ada penonton di dalam dewan biarpun ramai yang menonton di kaca televisyen.



"Macam bawa motor tanpa meter. Tahu-tahu kita kena tahan saja mungkin sebab bawa laju sangat, atau kita kena marah sebab bawa perlahan sangat di lorong laju sehingga mengganggu perjalanan. Itulah yang kami rasakan. Bila tiada penonton, kita tidak ada meter untuk menunjukkan 'punch line' kita tu menjadi atau tidak, besar atau kecil, orang dapat tangkap atau sebaliknya.

"Kalau ada penonton, bila kita buat lawak dan mereka ketawa, kita ada masa untuk teruskan dengan 'punch line' seterusnya secara spontan bagi menyahut gelak ketawa mereka. Ini tidak ada orang gelak. Jadi kita hanya mengagak sahaja dan kita harus terus buat lawak.

"Itulah yang saya rasa bila tidak ada penonton ni, saya kena akui banyak perkara yang menjadi canggung. Semua orang dah bagi yang terbaik dan kami akan sentiasa berikan yang terbaik kerana ini juga nama kami," kata Jep mengakhiri bicara.

Sepahtu Reunion Live 2020 boleh anda saksikan secara langsung setiap hari Khamis, jam 9:00 malam di Astro Warna (127) dan Warna HD (107). Anda juga boleh strim On Demand menerusi aplikasi Astro GO, Astro PVR Box atau Ultra Box. Ketahui lebih lanjut di sini.