“Kalau Saya Berdialek Sabah, Nanti…” - Tracie Sinidol Terkilan Dilabel Lupa Daratan
Pelakon Tracie Sinidol terkejut apabila dirinya dilabel sebagai lupa daratan oleh netizen selepas melakonkan watak seorang perempuan Cina Semenanjung.
Tracie, 24 tahun, berkata dia hanya memainkan watak tersebut yang memerlukannya berdialog dalam bahasa Mandarin dengan dialek Semenanjung Malaysia.
“Mungkin orang luar fikir saya ini lupa daratan, tapi sebenarnya tidak.
“Saya hanya memainkan watak seorang perempuan Cina yang memerlukan saya bertutur dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada Gempak.
Tracie berkata demikian ketika menghadiri tayangan perdana Viu Original: Gadis Masa yang berlangsung di Aloft Kuala Lumpur Sentral, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pelakon itu menjelaskan dia perlu bercakap dalam dialek Semenanjung kerana watak yang diberikannya berasal dari Semenanjung Malaysia.
“Ini adalah salah satu karakter yang perlu saya bawakan. Watak itu juga memerlukan saya untuk tampil sebagai seorang gadis berbangsa Cina dari Semenanjung Malaysia dan bercakap seperti orang Semenanjung.
“Kalau saya berdialek Sabah, nanti penonton tidak akan faham.
“Saya berharap sangat orang ramai memahami situasi ini kerana saya hanya melakonkan watak yang memerlukan dialek Semenanjung.
“Saya harap semua orang faham,” jelasnya.
Pada masa sama, pemenang Dewi Remaja itu berasa terkilan apabila netizen melabel dirinya lupa daratan hanya kerana tidak menggunakan dialek Sabah dalam watak tersebut.
“Nak cakap sedih itu tidaklah, cuma saya terkilan sedikit bila orang berkata begitu. Saya sebenarnya masih lagi mengingati tempat kelahiran saya, iaitu Sabah.
“Mungkin orang rasa bila saya menggunakan dialek Semenanjung ketika berlakon, mereka fikir saya lupa asal-usul. Tapi hakikatnya, saya hanya bertutur dalam dialek Semenanjung untuk memudahkan penonton memahami cerita.
“Kalau saya bercakap dialek Sabah, saya takut nanti maksud sebenar tidak sampai kepada mereka. Saya juga merasakan ia seperti ada batasan,” luahnya.
Bagaimanapun, Tracie bersedia menerima kritikan daripada penonton dan berusaha memahami perspektif mereka dengan meletakkan dirinya di posisi mereka sambil membayangkan mereka berada di situasinya.
“Saya rasa saya okay sahaja bila mereka mahu berkata seperti itu kerana saya cuba untuk meletakkan diri saya di posisi mereka, dan pada masa yang sama, saya cuba meletakkan mereka di posisi saya.
“Itu sahaja yang saya mampu katakan buat masa sekarang,” ulasnya.