Berita
"Kalau Tiada Benda Baik Nak Cakap, Diam" - MK K-Clique Kecewa Sikap Netizen
Penyanyi rap terkenal, MK (K-Clique) meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir netizen yang bertindak keterlaluan apabila meninggalkan komen di media sosial.
MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin berkata, lebih terkilan apa ada yang sanggup mengenepikan soal perasaan individu lain ketika melontarkan komen-komen yang berbaur negatif.
"Hari ini aku bangun dengan perasaan yang kecewa dan kesal dengan sesetengah perangai manusia yang suka melontarkan komen yang langsung tidak memikirkan perasaan orang lain.
"Kalau tiada benda baik nak cakap, diam," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Bahkan, menurut MK, sebarang bentuk teguran dan pandangan sebaiknya diberikan dengan menggunakan cara yang lebih berhemah.
"Kalau ada teguran, hadap terus ke tuan badan. Kalau ada pendapat, lontarkan.
"Bergurau? Biarlah bertempat. Kita semua manusia, semua ada perasaan," pesannya.
Begitupun, MK memberi bayangan bahawa dia tidak kisah sekiranya terpaksa berdepan situasi tersebut, namun mungkin tidak pada orang lain.
"Kalau aku yang kena aku mungkin okay, memang okay, tapi tolong fikir orang lain. Peace, love," luahnya.
MK kini tampil berkolaborasi dengan penyanyi Nabila Razali menerusi lagu Peluang Kedua.
Sehingga kini, muzik video lagu tersebut sudah mencecah lebih 6 juta tontonan di YouTube dalam tempoh seminggu.
Sebelum ini, Nabila antara artis yang pernah berdepan dengan kecaman netizen di media sosial kerana terkucil ketika menyanyikan lagu berkenaan.