HIBURAN
Kamal Adli Terhibur Pekerjaan Di Wikipedia Disunting Jadi ‘Petani’ Gara-Gara Watak ‘Budin’ - “Penat Lelah Berbaloi Bila Ada Yang Menghargai…”
Pelakon popular Kamal Adli terhibur apabila ada pihak yang menyunting pekerjaannya di laman Wikipedia sebagai ‘petani’.
Insiden lucu ini dipercayai berpunca daripada watak lakonannya sebagai Budin dalam drama popular Dia Imamku yang kini mencuri perhatian ramai.
Menurut Kamal, perubahan tersebut menunjukkan betapa penonton begitu teruja dan terbawa-bawa dengan watak yang dilakonkannya.
“Ada yang muat naik tangkap layar Wikipedia itu di media sosial, tapi saya bukan petani dalam kehidupan realiti. Itu semua penangan Budin, percayalah cakap saya.
“Sebelum ini mereka tulis pekebun, pemandu, suami Humaira… sekarang dah tukar balik pelakon, pengacara, pelakon,” katanya ketika ditemui Gempak.
Mengulas lanjut, Kamal mengakui tidak terasa hati dengan perkara tersebut, malah berasa gembira kerana ia menunjukkan keterujaan penonton terhadap drama lakonannya.
“Bagi saya, selagi tidak keterlaluan saya gembira dengan apa yang peminat lakukan, nampaklah mereka teruja dengan drama Dia Imamku.” ujarnya.
Tambah Kamal, semua penghargaan yang diterima membuatkan penat lelahnya sepanjang penggambaran berbulan-bulan terasa berbaloi.
“Saya tengah nikmati momen ini untuk enam bulan punya kerja, jadi saya rasa berbaloi sebab penat lelah ini berbaloi bila ada yang menghargai,” katanya.
Sebelum ini, Kamal yang memegang watak Budin menerusi drama arahan Siti Rosmizah itu menjadi perhatian ramai kerana memaparkan sifat seorang yang suami yang sempurna.
Menerusi drama itu, Kamal digandingkan dengan aktres jelita, Siti Saleha yang memainkan watak Humairah.
Turut berlakon dalam drama itu ialah, Zara Zya, Haneesya Hanee, Khatijah Tan, Fazlina Ahmad Daud dan Amy Nur Tinie.
Sinopsis Dia Imamku
Seorang gadis yang sombong bernama Cempaka Humairah. Tetapi hakikatnya, Humairah berasa tidak yakin dan dahagakan perhatian ibu bapanya, Dato’ Malik dan Datin Orkid. Mereka lebih mengutamakan kakaknya, Lily Hamra, berbanding dirinya.
Oleh itu, Humairah akan membenci sesiapa sahaja yang berjaya menarik perhatian ibu bapa dan neneknya. Pertemuan pertama Humairah dengan Amir atau Budin di rumah Nek Bunga telah menanam benih permusuhan dalam hatinya.
Pada pandangan Humairah, Budin hanyalah seorang budak kampung yang dungu dan tidak membawa apa-apa makna dalam hidupnya. Kewujudan Amir langsung tidak penting baginya. Namun, disebabkan satu insiden, Humairah akhirnya menyedari keikhlasan hati Amir.
Tetapi malangnya, semuanya sudah terlambat. Hati Amir sudah mati untuk Humairah, walau sebanyak mana pun Humairah memohon maaf dan meminta keampunan. Adakah Humairah berjaya mendapat peluang ke-2 dari Budin?
Must-Watch Video