Penerbit, pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor berharap agar kerajaan mempertimbangkan Prosedur Kendalian Standard (SOP) dengan lebih cepat untuk diguna pakai oleh penggiat filem tempatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Rosyam, dia yakin penggiat filem juga mampu mematuhi SOP ketika bekerja sebagaimana mereka yang berada dalam industri lain.

"Kami orang filem sabar menunggu SOP dari pihak kerajaan, kami berharap agar kerajaan memberi sedikit kelonggaran dalam bidang kerja kami.

"Seperti pekerja dalam industri lain, kami pun akan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan, kami juga takut terkena penyakit COVID-19 kerana kami pun takut mati," katanya ketika dihubungi Gempak sebentar tadi.



Tambah Rosyam, dia faham akan usaha kerajaan yang mahu membanteras penularan pandemik tersebut.

"Saya faham usaha kerajaan mahu menghentikan penularan pandemik ini, namun, penggiat filem juga harus jaga periuk nasi.

"Kalau pekerja dalam industri lain boleh patuh dengan SOP ketika krisis COVID-19 ini, mengapa bukan kami dari kalangan penggiat filem?" tambahnya.

Dalam pada itu, Rosyam menambah, penjarakkan sosial juga boleh diamalkan ketika penggambaran filem dengan beberapa cara.

"Penjarakkan sosial boleh dipatuhi ketika melakukan penggambaran kerana kami boleh mengaturkan kedudukan pelakon dengan jarak selamat, selain itu, kami juga akan bermain dengan teknik kamera," katanya lagi.

Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan masih memperhalusi cadangan membenarkan penggambaran filem, drama dan iklan untuk dilakukan ketika tempoh PKPB.

Difahamkan. keputusan itu akan dibuat selepas perayaan Aidilfitri dengan mengambil pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).