Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Kami Rancang Terbitkan Buku, Himpun 2,000 Lagu ...” - Anak Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab

Ainun
25/11/2024 10:25 MYT
Anak kepada Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, Nassier Khan mendedahkan beberapa perancangan besar untuk memastikan karya arwah ayahnya terus diingati.

Antara rancangan keluarganya adalah menerbitkan buku nota muzik khas dan menubuhkan galeri.

Menurut Nassier Khan, 62, buku tersebut bakal menghimpunkan koleksi 2,000 lagu ciptaan arwah sepanjang enam dekad berada di dunia industri muzik di Malaysia.

“Kami merancang untuk menerbitkan sebuah buku nota muzik yang akan menjadi rujukan penting kepada generasi akan datang.

“Buku ini akan menghimpunkan karya-karya ciptaan arwah yang penuh dengan nilai seni dan sejarah,” katanya kepada Gempak.


Nassier berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak, Selangor, pada Isnin.

Selain menerbitkan buku, Nassier juga bercadang untuk menubuhkan sebuah galeri yang memaparkan pencapaian dan perjalanan karier ayahnya sebagai maestro muzik negara.

Menariknya, terdapat perbincangan yang sedang berlangsung dengan Persatuan Seni di Pulau Pinang untuk menubuhkan sebuah muzium yang dinamakan Muzium Tan Sri Ahmad Nawab.

“Muzium ini mungkin akan dibangunkan di rumah lama datuk dan nenek kami di Pulau Pinang.

“Semuanya masih dalam perbincangan tetapi idea ini sangat menarik kerana lokasi tersebut mempunyai nilai sentimental buat keluarga kami,” ujarnya.


Tambahnya lagi, dia turut menyifatkan Allahyarham bukan sahaja seorang komposer prolifik, tetapi juga seorang guru yang berjaya melahirkan ramai bintang ternama dengan disiplin yang tinggi.

“Ramai nama besar yang berjaya dalam industri muzik hari ini adalah hasil bimbingan arwah.


“Beliau bukan sahaja seorang komposer tetapi juga seorang pendidik yang sangat teliti dalam aspek disiplin dan etika kerja,” ulasnya.

Selain itu, Nassier memberi jaminan bahawa aset seni Allahyarham, termasuk koleksi lagu, dokumen, dan memorabilia, akan dipelihara sebaik mungkin bagi memastikan warisan tersebut tidak hilang ditelan zaman.

“Insya-Allah, kami akan menjaga semua aset seni arwah supaya ia kekal relevan dan terus dihargai,” kongsinya.

Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, yang meninggal dunia pada 15 November lalu, dikenang sebagai maestro muzik tersohor dengan ribuan lagu yang menjadi lambang kegemilangan industri muzik Malaysia.

BERITA TRENDING:Belasungkawa: Selamat Berpulang Ke Negeri Abadi Ahmad Nawab, Malaysia Truly Asia Kekal Jadi Legasi
BERITA TRENDING: Lelaki Heret Kucing Guna Tali Ditahan Polis
BERITA TRENDING: Fizo Omar Bangga Isteri Berjaya Genggam 1st Class Degree Dalam Bidang Pendidikan, Kagum Pengorbanan Belajar Sambil Mengandung - “You Did It & Prove It”
BERITA TRENDING: Lelaki Tiba-Tiba Hidup Semula Sebelum Dibakar

Perancangan seperti ini bukan sahaja memartabatkan nama beliau, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai seni dan budaya.

#muzik #Buku #Buka #Pulau Pinang #Nota #Galeri #Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab #Nassier Khan #Terbit
;