Hiburan

Belasungkawa: Selamat Berpulang Ke Negeri Abadi Ahmad Nawab, Malaysia Truly Asia Kekal Jadi Legasi

gempak
Maliah Surip
25/11/2024
04:55 MYT
Sponsor Banner
Belasungkawa: Selamat Berpulang Ke Negeri Abadi Ahmad Nawab, Malaysia Truly Asia Kekal Jadi Legasi
Seorang lagi pesohor dan legenda dunia hiburan yang cukup disegani dan telah memberi bakti terutama dalam bidang muzik, menutup mata.

BERITA TRENDING: Ahmad Nawab Meninggal Dunia Pada Usia 92 Tahun

Tan Sri Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 24 November.
Allahyarham berpulang kepada Sang Pencipta-Nya pada usia 92 di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves, tanpa penyakit kronik sekitar pukul. 3.15 petang.
Menurut ahli keluarga, Ahmad Nawab tidak sedarkan diri selepas keluar tandas sebelum didapati meninggal dunia.
Mendapat khabar meastro muzik Ahmad Nawab meninggal dunia pada petang hari dengan hujan lebat di ibu kota membawa ingatan melayang saat melihat hasil kerja dan karya yang telah dicetak sepanjang beliau menjadi tulang belakang dunia hiburan sejak 1950-an.

BERITA TRENDING: Mak Nani Terkilan Ahmad Nawab Tak Sempat Lihat Projek Galeri

Mula-mula, ingatan segera merakam semula sosok tinggi lampai dan penampilan kemas yang selalunya dipadannya bersama kot atau kemeja panjang itu selalu menyambut rakan media atau tetamunya dengan senyum manis di sebalik misai ikonik miliknya.

BERITA TRENDING: “Perginya Seorang Yang Sangat Saya Hormati” - Paknil Anggap Tan Sri Ahmad Nawab Hero Dunia Lagu Tanah Air

Ahmad Nawab, jika berbicara, bicaranya sangat sopan dan teratur. Dan sebagai manusia yang sarat ilmu, segala bicara penuh dengan perkongsian dan ilmu yang patut diambil dengan senang hati (kerana ia percuma).
Hal yang paling diingati, penulis yang berkesempatan menemu bual Allahyarham beberapa tahun lalu (sewaktu masa wartawan muda) dilayan dan disantuni dengan baik oleh seorang legenda disegani ini.
Dan tentu sahaja yang paling ikonik bersama penampilan Ahmad Nawab adalah instrumen seksafon yang menjadikan beliau tersendiri.
Mengenang Ahmad Nawab juga adalah sebuah ‘dosa’ jika tidak mengenal sekurang-kurangnya sebuah karya seperti lagu Malaysia Truly Asia yang menerima sentuhan dan gubahan darinya.
Ironi sepanjang legasi karier, allahyarham yang terkenal di Malaysia dan Singapura telah menghasilkan lebih 2,000 buah lagu.
Beliau yang dianugerahi gelaran Seniman Negara ke-7 ini cukup terkenal dengan sentuhan atau gubahan buat lebih 200 album yang karyanya didendangkan oleh penyanyi berkelas negara termasuk Allahyarham Sharifah Aini, Allahyarham Sudirman, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Sentuhan magisnya juga sangat didambakan oleh rakan penyanyi Indonesia dan beruntunglah Hetty Koes Endang serta Broery Marantika yang pernah berkolaborasi dengan seorang Ahmad Nawab.
Beliau yang pernah berkhidmat di Orkestra RTM selama 17 tahun juga diberi kepercayaan melahirkan runut bunyi dan skor filem termasuk menerusi karya-karya malar segar dan popular seperti Hapuslah Air Matamu, Gila-Gila Remaja, Esok Untuk Siapa, Si Tora Harimau Jadian dan Do Re Mi.
Dengan bakti dan kepakaran yang telah dicurahkan sepenuh hati buat dunia seni, kredibiliti Ahmad Nawab juga membuatkan beliau menerima pelbagai anugerah termasuk anugerah Doktrate Dalam Penulisan Kehormat (Honarory Doctrate In Literature) oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2000.
Melihat kesemua bakti dan jasa yang telah dicetak Ahmad Nawab dalam legasi dunia seni tempatan serta Nusantara, pemergian allahyarham bukan hanya ibarat permata yang hilang tetapi beliau telah membawa sekali ilmu dan kepakaran yang barangkali tidak pernah mahu diteroka generasi muda.
Allahyarham Ahmad Nawab pulang ke pangkuan Ilahi bersama segudang jasa dan bakti yang akan sentiasa segar di ingatan kami.
Al Fatihah. Selamat beristirehat bersama Pemilikmu Ahmad Nawab.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024