Laman Utama

"Kami Syak Kematian Faziani Ada Unsur Lain" - Keluarga Buat Laporan Polis, Tuntut Siasatan Lanjut

gempak
Amri Hassan
17/06/2022
02:55 MYT
Sponsor Banner
"Kami Syak Kematian Faziani Ada Unsur Lain" - Keluarga Buat Laporan Polis, Tuntut Siasatan Lanjut
Keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019, membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham.
Laporan polis itu dibuat jam 1 tengah hari Khamis di Balai Polis Tumpat, Kelantan, selepas tiga tahun kematian pengasas produk berkenaan.
Ahli keluarga Allahyarham ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut terhadap kematian Allahyarham yang disyaki ada unsur lain.
"Selepas kematian Allahyarham, kami ahli keluarga melantik peguam untuk mendapatkan maklumat dan hasil dapatan peguam terbabit, mendapati kematian Allahyarham diragui.
"Kami mengesyaki kematian Allahyarham bukan disebabkan kemalangan semata-mata sebaliknya ada unsur lain yang menyebabkan kami tampil membuat laporan polis.
"Susulan laporan dibuat, saya juga sudah memberi keterangan kepada pihak polis hari ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat keluarga Allahyarham.
Katanya, pihaknya akan merujuk laporan berkenaan ke Bahagian Perundangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terlebih dahulu memandangkan kes berkenaan berlaku di Thailand.
Media sebelum ini melaporkan, Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia, manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.
Faziani Rohban maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim, cedera.
Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dan sebuah lori.
Allahyarham dikatakan dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.
Sumber: Harian Metro
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024