Penyanyi dan pelakon Yazmin Aziz mendedahkan yang budaya Filipina masih diterapkan ketika menyambut kedatangan lebaran, sungguhpun kini dia dan keluarganya telah menetap di Kuala Lumpur.

Yazmin, yang juga peserta Big Stage 2022 berkata, banyak hal yang masih diamalkan sama seperti ketika dia beraya di sana, dan salah satu daripadanya adalah menghidangkan makanan Filipina kepada tetamu.

“Dulu ketika raya di Filipina, kita sekadar berkumpul sahaja. Tetapi, apabila berpindah ke Malaysia, suasana jadi lain. Kami mula bergaya mengenakan baju raya dan juga memasak makanan yang selalu dimakan ketika lebaran.

“Selain ketupat dan rendang, kami juga menyediakan beberapa hidangan asal Filipina seperti Sinigang dan Kare Kare. Kalau nak tahu, hidangan ini juga ada ditonjolkan dalam lagu raya saya berjudul Rancak Raya,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Yazmin memberitahu yang rakan-rakannya cukup menggemari hidangan Filipina yang disediakan oleh keluarganya.

“Kawan-kawan suka betul dengan hidangan yang kami sediakan. Ada tu siap request dan bawa bekas nak bawa balik. Tapi seronok dapat menjamu kawan-kawan di hari raya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaharu, Yazmin muncul dalam sebuah filem berjudul Bunga Dan Kayu. Filem ini mengisahkan tentang Noah (lakonan MK K-Clique) seorang selebriti terkenal tanah air sengaja memilih Bunga (Azira Shafinaz) sebagai kekasihnya atas sebab tertentu dan tidak munasabah.

Sikap Noah menjadi lebih tidak terkawal apabila mendapat tahu gadis yang baru dikenalinya, Bunga menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon. Oleh sebab itu, Noah telah menawarkan peluang kepada Bunga yang bakal mengundang 1,001 bencana, bukan hanya pada Bunga tetapi Noah juga.

Selain MK, Azira dan Yazmin, Bunga Dan Kayu juga membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Zalif Sidek, Azad Jasmin, Kazar dan Elly Arifin.

Bunga Dan Kayu bakal temui penonton Syawal ini iaitu bermula 3 Mei 2022, Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480.