Seorang lelaki warga Nigeria bertindak kejam apabila mencampakkan seorang kanak kanak berusia empat tahun dari tingkat tiga sebuah apartmen di Danau Kota, Kuala Lumpur, sekitar pukul 8 pagi, Ahad.

Tindakannya itu dilakukan selepas dihalang merogol ibu kanak kanak terbabit yang juga merupakan anak perempuan tirinya berusia 24 tahun sewaktu sedang tidur di ruang tamu sebelum dihalang isteri serta anak-anak yang lain.

Menerusi laporan Awani, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, sebelum bertindak sedemikian, berlaku pergaduhan antara suspek yang berusia 42 tahun dengan isterinya warga tempatan berusia 48 tahun.

Pergaduhan itu, kata Nik Ros Azhan, dipercayai berpunca daripada perbuatan suspek yang cuba merogol salah seorang anak tirinya yang juga ibu kepada kanak-kanak yang maut.

Suspek juga, kata beliau, dipercayai cuba melemaskan anak kandungnya yang berusia lapan tahun dalam baldi, namun kanak-kanak itu dapat melepaskan diri.

Siasatan awal polis mendapati, pasangan suami isteri itu mendiami pangsapuri berkenaan bersama lima orang anak dan seorang cucu.

"Berlaku pertengkaran suami isteri di mana suspek cuba merogol salah satu anak tirinya dan kemudian telah cuba melemaskan seorang anaknya yang berusia lapan tahun kemudian cucu yang berusia empat tahun dipercayai telah dibunuh daripada atas dan dicampak ke bawah," kata Nik Ros Azhan.

Menurut Nik Ros Azhan, lelaki itu kemudian cuba melarikan diri namun mengalami kecederaan selepas terjun dari pangsapuri berkenaan melalui tingkap.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Suspek juga dibawa ke HKL dan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan mendapati warga Nigeria itu berkahwin dengan wanita tempatan berkenaan sejak 10 tahun lepas dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Isterinya pula mempunyai empat orang anak berusia 19 hingga 29 tahun serta seorang cucu berusia empat tahun daripada perkahwinan terdahulu.

Sumber & Foto: Awani