SUKAN
Kelayakan Piala Asia: Harimau Malaya Mengaum Ratah Vietnam Di SNBJ
Skuad bola sepak negara mempamerkan dominasi sempurna ketika menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F, pusingan kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Harimau Malaya menguasai penuh aksi sepanjang 45 minit tetapi kekurangan penyudah di depan gawang lawan.
Percubaan terbaik Malaysia hanya hadir pada minit ke-35 di mana rembatan jarak jauh Dion Cools terkena tiang sebelah kanan Vietnam.
Menjelang minit ke-40, Joao Figueiredo hampir menanduk masuk gol pembukaan Malaysia tetapi percubaannya ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip.
Menuju ke separuh masa, Arif Aiman Hanapi berhasil melakukan gerakan solo di sebelah kanan tetapi lambungan terakhirnya sempat ditolak keluar Nguyen Filip.
Aksi sebenar Harimau Malaya mula dipamerkan dalam separuh masa kedua dan Figueiredo hanya memerlukan empat minit untuk memecahkan kebuntuan dengan rembatan kencangnya, yang sempat terbias pertahanan lawan sebelum menjunam ke gawang Nguyen Filip.
10 minit berselang, Rodrigo Holgado turut menandakan penampilan pertamanya dengan jaringan apabila berhasil menolak masuk umpanan pendek Arif Aiman.
Corbin Ong, yang menjaringkan gol kedua ketika Malaysia menewaskan Nepal pada Mac lalu, mengekalkan rekod jaringannya dalam kempen kali ini, di mana dia menyudahkan lintangan Arif Aiman pada minit ke-67.
Pemain baru Cerezo Osaka, Dion Cools, turut memahatkan namanya sebagai penjaring dengan menanduk masuk lintangan Endrick Dos Santos pada minit ke-88.
Dengan kemenangan itu, Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan enam mata, tiga mata di atas Vietnam selepas dua perlawanan.
Sebagai rekod, hanya juara kumpulan akan layak ke Arab Saudi pada 2027.
Sumber: Stadium Astro
Must-Watch Video