Viral

Keluarga Bawa Bayi Pakai Alat Bantuan Pernafasan Tak Sangka Viral - “Hanya Ada RM12 dalam Poket…”

gempak
Gempak
22/05/2024
00:55 MYT
Sponsor Banner
Keluarga Bawa Bayi Pakai Alat Bantuan Pernafasan Tak Sangka Viral - “Hanya Ada RM12 dalam Poket…”
Keluarga tular dalam media sosial bersama bayi berusia 11 bulan yang memakai alat bantuan pernafasan sama sekali tidak berniat meraih simpati orang ramai.

Tak Sangka Boleh Tular

Bapa kepada bayi itu, Mohd Azlan Ishak, 36, berkata, dia juga tidak tahu tindakannya bersama isteri, Norhidayu Halim, 35, yang membawa anak mereka, Mohd Aariz Zafran menaiki motosikal itu tular di media sosial.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kisah bayi mereka yang perlu memakai alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana menghidap penyakit paru-paru kronik tular selepas dimaklumkan isteri pada Isnin.
"Kami memang sentiasa berulang-alik ke hospital dengan menunggang motosikal sahaja membawa Mohd Aariz bagi mendapatkan rawatan dan pada hari kejadian, hanya ada RM12 dalam poket sebab banyak hari tidak bekerja.
"Ia merupakan satu-satunya kenderaan yang kami ada walaupun sedar anak kami yang kurang sihat tidak sepatutnya dibawa menaiki motosikal namun kami terpaksa kerana tiada kereta," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Kota Nelayan di sini pada Selasa.

Raih Pendapatan Harian RM50

Tambahnya lagi, dia hanya meraih pendapatan harian sebanyak RM50 sehari dengan bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan di Kuala Kedah.
"Wang itulah digunakan untuk menyara kehidupan kami sekeluarga termasuklah membeli keperluan anak lelaki kami dan pergi ke hospital.
"Kalau saya bekerja barulah ada gaji dan kami pernah terputus bekalan makanan selama beberapa hari pada minggu lepas kerana saya tidak bekerja selama 12 hari akibat demam campak," katanya.

BERITA TRENDING: Dihalau Suami, Wanita Bersama Dua Anak Kecil Duduk Di Stesen LRT

Mohd Azlan berkata, mereka bukan hanya tidak mampu membeli makanan, malah tidak dapat membeli barangan keperluan Mohd Aariz termasuk lampin pakai buangnya.
"Kami tidak tahu hendak buat apa lalu ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Alhamdulillah, kami dapat bantuan wang segera yang mana ia digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan makanan," katanya.

Terima Kasih

Jelasnya, dia juga berterima kasih kerana nasib mereka mula berubah apabila gambar mereka menaiki motosikal ditularkan dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ada rakan beritahu kisah kami sekeluarga dapat perhatian ramai dan kini telah sampai ke pengetahuan Perdana Menteri. Jadi, saya berterima kasih teramat atas keprihatinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Sementara itu isterinya, Norhidayu berkata, masalah kesihatan anak lelakinya mula dikesan doktor ketika berusia dua bulan sewaktu membawa abangnya, Iman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, 9, yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
"Ketika membawa Iman yang turut menghidap sakit kronik termasuk jantung berlubang, saya melihat keadaan Mohd Aariz agak pelik apabila ada lekuk di dadanya ketika bernafas lalu meminta doktor memeriksa keadaannya.
"Jadi, sejak itulah Mohd Aariz perlu memakai mesin CPAP sepanjang masa dan dia akan sukar bernafas sekiranya tidak memakai alat bantuan pernafasan ini," katanya.
Menurutnya, anak lelakinya perlu memakai mesin berkenaan kerana menghidap pelbagai masalah kesihatan termasuklah penyakit paru-paru kronik, gerd dan saiz limpa besar.

Bergantung Sepenuhnya Alat Bantuan Pernafasan

Disebabkan itu katanya, Mohd Aariz bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dan susu untuk meneruskan hidup.
"Kami tidak mampu beli susu khas dan cuba berinya nestum namun Mohd Aariz tidak boleh menjamahnya disebabkan keadaan kesihatannya.
"Kalau makan juga makanan ini dia akan mengalami gastrik," katanya.
Tambah suri rumah itu, selain Mohd Aariz dan Iman, dia juga memiliki seorang lagi anak lagi iaitu Ahmad Hafizi, 17, yang menghidap cerebral palsy, Ahmad Amirul Amin, 14, dan Nur Rabbiatul Husna,4.
Bagaimanapun, katanya, tiga anaknya kecuali Nur Rabbiatul dijaga ibu bapanya disebabkan dia dan suami tidak berkemampuan dari segi kewangan tambahan pula pendapatan di pelantar ikan adakalanya tidak mencukupi.
Orang ramai yang ingin membantu Mohd Aariz boleh melakukannya dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) isterinya, NorHidayu Halim (0210029000677695).
Sumber - Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live