Laman Utama
Kembali Aktif Di Instagram, Janna Nick Tapis Ruangan Komen
Tidak menunggu lama, pelakon dan pengacara Janna Nick, 26, kembali aktif di Instagram (IG) yang memiliki 6.2 juta pengikut semalam selepas akaun itu dinyahaktif gara-gara kontroversi artis K-pop.
Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner memuat naik dua hantaran iaitu mempromosikan drama lakonannya, Marry Me Senorita dan menulis luahan rasa.
"Anda takkan dapat kawal bagaimana orang menerima tenaga yang anda berikan. Semua yang anda lakukan atau katakan akan ditapis melalui mata orang yang melihat dan dikaitkan dengan apa yang mereka rasakan, yang tentunya bukan mengenai anda.
"Terus lakukan apa yang anda lakukan dengan penuh berintergriti dan penuh kasih sayang," tulisnya dalam bahasa Inggeris.
Meninjau di ruangan komen, pelakon drama My Coffee Prince itu menerima respon positif daripada keluarga, rakan artis dan peminat.
"@kissyanick: Terus kuat, angah. Sebagai tokoh masyarakat setiap orang mengawasi awak, apa sahaja yang awak lakukan sedang diperhatikan dan mereka akan menemui titik untuk menjatuhkan awak. Semua doa kami dimakbulkan.
"@mamascha_: Allah Maha Mengetahui, Maha Adil, terus kuat angah. Nama awak ada dalam doa saya.
"@sakinah_moonah: Saya akan ada dengan awak susah senang okey. Jangan mengalah, saya kenal awak, saya tau apa awak buat, saya tau awak selalu kuat.
"@daleryusuf: Orang yang mengenali awak dalam kehidupan sebenar dapat memberitahu awak jenis orang yang bagaimana sebenarnya. Awak rajin, kreatif dan baik. Sentiasa bersedia menolong orang lain. Tidak mengapa kita melakukan kesilapan dan kita belajar darinya. Jaga diri.
Pengacara program Melodi itu bertindak menapis dan mengehadkan komen-komen yang diterima.
Sementara itu, hasil semakan Gempak juga mendapati akaun Twitter miliknya masih belum aktif.
Terdahulu, nama Janna telah menjadi bualan ramai sehinggakan trending #jannanickisgoingtojailparty di Twitter.
Janna didakwa mempersenda anggota kumpulan K-Pop BLACKPINK iaitu Lisa Manoban dengan menulis Lisa BLACKPIG dalam ruangan komen di IG.
Susulan itu, Janna membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap individu yang melemparkan fitnah sehinggakan menimbulkan provokasi.
Must-Watch Video