Kemelut Dengan Ibu Selesai, Nelissa Nizam Puasa Bersama Keluarga - "Apa Yang Datang Saya Anggap Ujian"
Pelakon Nelissa Nizam berkongsi perkembangan terkini selepas terpalit dengan isu perselisihan faham bersama ibunya baru-baru ini.
Menurut aktres itu, dia baru sahaja bertemu dengan ibunya beberapa hari lalu untuk menyambut bulan puasa bersama keluarga.
Katanya, keadaan mereka kini sudah kembali seperti biasa dan tiada lagi sebarang masalah antara mereka.
"Sebenarnya baru-baru ini, dua hari lepas saya baru sahaja berjumpa dengan mak saya. Semuanya okay, Alhamdulillah," katanya kepada Gempak.
Nelissa berkata demikian ketika menghadiri majlis Fiziwoo Raya25 Collection Iftar Soirée di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Selasa malam.
Pada masa sama, Nelissa turut menyatakan isu yang berlaku sepatutnya diselesaikan secara peribadi dalam kalangan ahli keluarga tanpa perlu diperbesarkan sehingga menjadi perhatian umum.
Dia juga meluahkan rasa syukur kerana segala perkara telah diselesaikan dengan baik, dan keadaan kembali seperti sediakala.
"Macam yang saya katakan, sepatutnya perkara ini perlu dibincangkan dalam keluarga dan tidak perlu diuar-uarkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," jelasnya.
Bagaimanapun, aktres berusia 28 tahun itu turut menegaskan dalam kehidupan, tidak semua perkara berada dalam kawalan seseorang.
Baginya, apa sahaja cabaran atau masalah yang datang dianggap sebagai ujian yang perlu dihadapi dengan tabah.
Dalam kes ini, ujian tersebut datang daripada ibunya sendiri, tetapi dia bersyukur kerana semuanya telah selesai dengan baik dan hubungan mereka kini kembali seperti biasa.
"Saya rasa semua benda yang berlaku bukan dalam kawalan kita. Apa sahaja yang datang, saya anggap sebagai satu ujian untuk saya.
"Sebab ujian itu datang daripada ibu saya sendiri. Saya rasa semuanya sudah selesai. Alhamdulillah, sekarang ini semuanya berjalan dengan lancar," kongsinya.
Terdahulu, ibu kepada pelakon Nelissa Nizam, iaitu Ayu Manaf, menafikan pendedahan yang dilakukan oleh aktres tersebut mengenai kisah remajanya yang dikatakan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.