Jenama kosmetik terkenal, SimplySiti telah pun kembali dengan kempen Tanggungjawab Sosial Korporatnya iaitu SimplySiti Di Hati pada November dan Disember lalu.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, kempen tersebut telah berjaya mengumpul dana melebihi RM200,000 yang telah digunakan untuk membiayai kos pembedahan 14 orang kanak- kanak pesakit jantung kurang berkemampuan sehingga tahun 2018.

Untuk kempen SimplySiti Di Hati 2019, sebuah majlis penutup telah diadakan di Magica @ Quill City Mall, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Presiden SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut hadir meraikan para tetamu yang terdiri daripada para penerima dana, rakan niaga, penaja, para pelanggan dan rakan-rakan media.

Selain daripada mendapat perhatian masyarakat, kempen ini turut mendapat sokongan besar daripada syarikat konglomerat seperti CUCKOO International yang turut serta menghulurkan sokongan dan merupakan penderma terbesar dengan sumbangan bernilai RM100,000 untuk usaha murni ni.

Secara kesuluruhannya, tahun ni SimplySiti Di Hati berjaya mengumpul kutipan dana tertinggi yang bernilai RM171,145. Ini merupakan detik bersejarah buat SimplySiti yang bakal menyambut ulangtahun yang ke-10 Mac ini.

Datuk Seri Siti Nurhaliza, diiringi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International, Encik KC Hoe, telah menyerahkan replika cek kepada Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur selaku Pengerusi Jawatankuasa Sosial & Kebajikan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, sebagai tanda rasmi penyerahan dana untuk disalurkan ke Tabung Yayasan Institut Jantung Negara.


Dana yang telah dikumpul digunakan untuk membiayai kos pembedahan jantung lima kanak-kanak pesakit jantung iaitu Siah Wan Ying, Nurul Syamimi Binti Ahmad Paridon, Auni Insyirah Binti Muhammad Firdaus Hilmi, Nur Auni Mardhiyah Binti Ahmad Hanafi dan Mugilan A/L Ramesh Rao.

Lima kanak-kanak pesakit jantung tersebut telah pun selamat menjalani proses pembedahan rawatan jantung dan kini mereka dalam proses penyembuhan.

“Ini merupakan pengalaman yang indah buat saya sendiri apabila saya sendiri turun ke padang kerana dapat lihat sendiri wajah-wajah pelanggan SimplySiti dan Creacion yang hadir untuk menyokong misi ini.

"Ia juga merupakan satu kepuasan bagi saya kerana para pelanggan juga turut menceritakan pengalaman dan perubahan yang dialami oleh mereka setelah menggunakan produk SimplySiti.

"Nampaknya ramai rakyat Malaysia yang bermurah hati untuk turut sama-sama menjayakan kempen ini. Saya berharap pengguna semua akan terus menyokong SimplySiti di masa hadapan”, kata Siti ketika ditemui di majlis tersebut.



SimplySiti telah diasaskan pada tahun 2010 di bawah aspirasi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ingin berkongsi tentang ilmu dan rahsia kecantikannya dengan semua golongan wanita tanpa mengira sempadan.