Episod kedua drama bersiri I-Tanggang baru sahaja melabuhkan tirai. Nampaknya, selain Erma, ada satu watak yang turut meraih rasa benci dalam kalangan penonton.

Watak tersebut adalah Esra, si anak biadab yang enggan pergi ke sekolah kerana percaya apa yang pelajari tidak dapat membantunya dari segi akademik untuk bergelar seorang Youtuber.

Kebiadapan Esra terserlah menerusi cara dia berkomunikasi dengan ibu bapanya apabila dia diminta untuk ke sekolah.

BACA: Dibenci & Digelar Psiko, Sherie Merlis Mahu Penonton Belajar Dari Watak Erma Di I-Tanggang

Lebih membimbangkan, ibu dan bapa Esra terpaksa ‘merasuah’ anak mereka sendiri dengan barangan mewah semata-mata mahu memujuknya untuk belajar.

Sungguhpun begitu, Esra masih tidak mahu mendengar kata dan terus berlaku biadap sehingga menyebabkan ibunya sendiri tercedera.

Meninjau ke laman Twitter, ramai antara penonton I-Tanggang melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap Esra. Salah satu ciapan yang menarik perhatian:



“Kenapa aku yang rasa ringan je tangan nak lempang si Esra ni?” luah netizen.

Selain itu, ada yang membandingkan diri dengan ketegasan ibu-ibu di Asia apabila menyaksikan perangai Esra.



“Sifat keibuan Asia saya tidak dapat tahan dengan perangai Esra. Kalau dia anak saya, sudah pasti penyangkut baju habuannya,” jelas seorang lagi penonton.

Namun, terdapat satu komen yang cukup mencuit hati apabila ada seorang penonton yang memberikan cadangan supaya Esra bergelar anak kepada Erma.



“Esra patutnya jadi anak Erma, baru ngam… hahaha,” kongsinya.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.