Penyanyi Haqiem Rusli meluahkan rasa terkilan terhadap sebuah stesen minyak di Terengganu yang enggan bertanggungjawab atas kecuaian pihak mereka.

Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram, Haqiem memberitahu keretanya mengalami kerosakan selepas mengisi minyak bercampur air di stesen tersebut.

“Saya dan isteri menegaskan bahawa pihak stesen minyak itu tidak memberi kerjasama untuk membayar kos membaik pulih kereta saya yang rosak akibat dibekalkan minyak yang bercampur air ketika mengisi minyak petrol di stesen minyak itu.

“Untuk makluman pada 17 Mac 2023, saya telah mengisi minyak petrol di situ. Kemudian saya meneruskan perjalanan keluar dari stesen minyak tersebut tetapi lebih kurang 100 meter, kereta saya menunjukkan tanda amaran dan menyebabkan enjin kereta mati dan tidak dapat dihidupkan semula.

“Kemudian kereta saya terpaksa ditunda ke bengkel Autorized Mercedes Benz paling berdekatan. Pada 19 Mac 2023, pihak Asbenz Stern Sdn. Bhd. selaku Autorized Mercedes Benz dealer telah memaklumkan kepada saya bahawa kerosakan yang berlaku ke atas kereta saya disebabkan dalam tangki minyak kereta terdapat air yang berlebihan daripada minyak.

“Pihak Asbenz memberitahu kos untuk membaik pulih kereta saya ini dianggarkan hampir RM50,000. Pada 22 Mac 2023, saya telah pergi ke stesen minyak itu dengan tujuan untuk berbincang tentang penyelesaian atas perkara ini dan pihak mereka meminta kerjasama daripada saya untuk memberikan pihak mereka lebih masa bagi menyelesaikan masalah kereta saya,” katanya.

Pada kenyataan yang sama, Haqiem turut mendedahkan pihak stesen minyak tersebut mahu memindahkan keretanya ke bengkel yang bukan dibawah kuasa jenama Mercedes Benz.

“Beberapa hari kemudian pihak stesen minyak itu telah menghubungi saya untuk meminta kebenaran memindah kereta saya untuk dibaiki di bengkel yang dicadangkan oleh pihak mereka tidak berstatuskan Autorized Mercedes Benz.

“Sedangkan kereta saya masih dalam waranti, maka saya tidak memberikan kebenaran kepada mereka untuk menunda kereta saya yang berada di bengkel Asbenz untuk pihak mereka pindahkan ke bengkel lain. Bermula dari itulah pihak mereka tidak lagi menjawab penggilan dan mesej daripada saya.

“Setakat hari ini sudah hampir sebulan lebih pihak mereka menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dengan berdiam diri dan gagal memberikan maklum balas apabila dihubungi sedangkan saya tertunggu-tunggu jawapan daripada pihak mereka.

“Saya juga rasa amat dukacita di atas kegagalan pihak mereka dalam memberikan kerjasama kepada pelanggan seperti saya yang ada masalah kereta rosak disebabkan oleh kecuaian pihak mereka menjual minyak yang bercampur air mengakibatkan saya terpaksa menanggung kerugian yang besar untuk membaik pulih kereta itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Haqiem juga berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) mengambil tindakan terhadap stesen minyak tersebut.

“Saya juga amat berharap dan memohon kepada pihak kerajaan khususnya KPDN agar mengambil tindakan yang tegas dengan membatalkan lesen kepada pengusaha stesen minyak yang menipu rakyat dengan menjual minyak bercampur air kepada pengguna,” katanya lagi.