Berita
"Kerja 8 Jam Sehari Dapat RM15" - Ebit Lew Sayu Dengar Kisah Pemandu Teksi Kudung Tangan Sara 2 Anak
Penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew, berkongsi kisah seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang mencari rezeki dengan menjadi pemandu teksi.
Apa yang menyentuh hati, individu tersebut yang kudung pada bahagian tangan kanannya itu ditemuinya ketika melalui sebatang jalan di ibu kota.
Lelaki yang dipanggil sebagai 'pakcik' itu dihampiri ketika kereta yang menjadi punca rezekinya itu tersadai di tepi jalan ekoran mengalami kerosakan.
Kata Ebit, hatinya cukup sayu apabila mendengar kisah insan tersebut yang kini hanya mampu meraih wang sekitar RM15 sehari untuk menyara keluarganya.
"Sayu tadi pusing Kuala Lumpur terjumpa pakcik bawa teksi sebelah tangan. Keretanya rosak. Banyak rosak.
"Kerja 8 jam sehari dapat RM15 ke RM20 sahaja sepanjang tahun ini. Setiap hari keluar rumah cari rezeki. 14 tahun bawa teksi. Tangan sebelah tiada kerana kemalangan jalan raya," ceritanya menerusi satu entri di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Ebit turut berkongsi satu video dirinya ketika cuba membantu lelaki berkenaan.
Katanya, bagi meringankan beban, Ebit kemudian membawa pemandu teksi tersebut ke bengkel untuk membaik pulih kenderaannya.
"Tadi saya bawa pakcik ini ke bengkel dan akan bayar apa yang rosak. Beri sedikit duit belanja. Ya Allah. Banyak ni ustaz. Pakcik tiba-tiba sedih sebak.
"Rajin pakcik ini bekerja. Semoga dimudahkan segala urusannya. Pakcik ni terharu, katanya tak sangka ustaz tiba datang dan sudi nak terus bantu beliau.
"Tiada duit nak baiki kereta. Semoga dua orang anak pakcik ni berjaya dalam pelajaran dan kehidupan," coretnya.
Perkongsian Ebit itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya yang cukup tersentuh mendengar kisah yang dikongsikannya itu.
Rata-rata mendoakan agar Ebit terus dimurahkan rezeki kerana sifat dermawan dan sering membantu insan yang dalam kesusahan.
"Terima kasih ustaz. Banyak sangat tolong orang susah. Semoga Allah panjangkan umur ustaz dan mewahkan lagi rezeki ustaz.
"Teringin nak jadi macam ustaz. Semoga suatu hari nanti saya mampu buat macam ni. Terima kasih ustaz banyak bantu orang susah," komen sebahagian pengikutnya.
Must-Watch Video