HIBURAN
Kerjaya Seni Hamidah Wahab Tak Terjejas Walau Difitnah ’Scammer’ - “Watak Nenek Atau Hantu Pun Saya Terima”
Pelakon senior, Hamidah Wahab menegaskan kerjaya seninya tidak terjejas biarpun namanya terpalit kontroversi difitnah sebagai scammer oleh seorang individu yang tidak dikenali baru-baru ini.
Menurut Hamidah, 69, dia sudah membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu terbabit.
“Buat masa ini, tak ada (kerja terjejas). Ada yang percaya, ada yang tidak percaya tuduhan itu. Orang sekarang pun masih tertanya-tanya, betul ke? Tapi saya dah buat laporan polis dan pihak polis sedang ambil tindakan. Dia pun dah direman dan akan didakwa pula dengan kes saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Hamidah yang cukup sinonim dengan drama Tanah Kubur itu juga bersikap terbuka menerima apa jua tawaran yang sesuai, termasuk watak seram atau mistik.
“Memang saya sentiasa terbuka untuk berlakon. Kalau ada watak sebagai nenek, hantu atau apa pun, saya terima. Sebab pelakon-pelakon veteran macam kami ni boleh bawa watak-watak berat sebab dah berpengalaman,” ujarnya.
Tambah Hamidah, walaupun tawaran yang diterima tidak sebanyak dahulu, dia tetap bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk beraksi di kaca televisyen.
“Saya masih ada kerja. Tak banyak, tapi ada sikit-sikit. Kalau mereka panggil dan masa sesuai, saya buat,” katanya.
Selain dunia lakonan, Hamidah kini turut aktif menyertai aktiviti kebajikan dan menjadi pegawai pengiring jemaah umrah melalui beberapa agensi perjalanan.
“Sekarang saya banyak terlibat dengan amal jariah. Kalau ada orang perlukan saya pimpin umrah, saya bantu. Saya pun duta kepada dua tiga agensi. Ini semua saham akhirat, bukan nak kejar kekayaan,” katanya.
Berbicara soal kesihatan, Hamidah mengakui dirinya mengalami sedikit masalah kesihatan ringan namun masih mampu menjalani kehidupan seperti biasa.
“Sakit tu ada sikit-sikit, tapi tak sampai memudaratkan. Umur dah meningkat, semua orang akan ada sakit. Tapi yang penting kita jaga diri dan hati kena bersih. Jangan suka bersangka buruk atau fitnah orang,” ujarnya.
Must-Watch Video