Kejadian tragis menimpa kanak-kanak Nurin Jazlin Jazimin yang meninggal dunia kerana dibunuh dengan kejam 14 tahun lalu kembali menjadi topik ‘hangat’.

Perkara itu tercetus susulan daripada luahan bapa mangsa iaitu Jazimin Abdul Jalil yang mahukan penjenayah sebenar menerima hukuman sewajarnya.

Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai menjelaskan bahawa kes membabitkan Nurin Jazlin tidak pernah ditutup sebaliknya menegaskan siasatan teliti akan dilakukan jika ada petunjuk baharu.

Menurutnya, Jazimin sudah di dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 2 petang semalam bagi merakam percakapannya untuk membantu siasatan.

Eng Lai berkata, hasil rakaman percakapan lebih sejam itu, bapa mangsa ada memberi maklumat baharu berhubung kes anaknya itu dan hasil maklumat diberikannya itu akan disemak dengan teliti dahulu.

Difahamkan, polis kini meminta seorang individu warga Indonesia yang mendakwa mempunyai maklumat berhubung kes Nurin Jazlin supaya tampil membantu siasatan.

Sekadar info, Nurin yang ketika itu berusia lapan tahun hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mayatnya dijumpai dalam sebuah beg sukan 27 hari kemudian di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya, dekat sini dan laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia pernah didera secara seksual.

BACA : “Saya Nak Keadilan Untuk Anak Saya” - Bapa Nurin Jazlin Terkenang Kes Anaknya 14 Tahun Lalu Yang Masih…

Sumber : Harian Metro