Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Kes Pukul Hafidz Roshdi Diteruskan, Mahkamah Perintah Nurul Shuhada Hadir Mahkamah Januari Depan

Gempak
14/10/2024 07:25 MYT
Mahkamah Majistret memerintahkan bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri perlu hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, Selangor pada 20 Januari tahun depan.

Majistret Nurul Izzah Hassan Basri memerintahkan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan akan tetap meneruskan perbicaraan berhubung pertuduhan Hafidz yang didakwa mencederakan bekas isterinya itu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Wiliams-Hunt berkata pihak pendakwaan tetap meneruskan kes itu selepas meneliti semua fakta-fakta kes.

“Jadi pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh perbicaraan untuk kes ini, ” kata Eirene Nabila yang turut memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan Hafidz berhubung pertuduhan tersebut.

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengadu dalam kes ini telah menyelesaikan kes apabila telah menarik balik laporan polis pada 6 Julai lalu.

“Berdasarkan dokumen, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan yang baik diluar mahkamah. Pengadu (Nurul Shuhada) telah bersetuju menarik balik laporan polis. Namun pihak pembelaan tetap menghormati apa yang dinyatakan pendakwaan (teruskan kes),” kata peguam itu.


Sementara itu, Akberdin ketika ditemui selepas prosiding berkata, Nurul Shuhada perlu hadir bagi pengesahan kesahihan laporan polis tarik balik yang telah dibuat.

BERITA TRENDING: “Dulu Saya Memang Terfikir Mengapa Allah Berikan Saya Ujian Sebegini, Apa Salah Saya” - Nurul Shuhada

BERITA TRENDING: Nurul Shuhada Teruja ‘Crush’ Follow TikTok, Selama Ini Usha Dalam Diam - “Ah Jerit Satu Rumah, Tapi Kita Takut Nak…”

BERITA TRENDING: Kes Pukul Bekas Isteri Diteruskan Dengan Perbicaraan, Hafidz Roshdi Kelihatan Sugul

BERITA TRENDING: Dakwaan Isteri Kini Sedang Berbadan Dua, Hafidz Roshdi Tampil Beri Respons


Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Majistret Nurul Izzah menetapkan 20 Januari ini bagi hari sebutan dan perbicaraan kes dengan pengadu iaitu Nurul Shuhada perlu hadir ke mahkamah.

Awal Ogos lalu, Nurul Shuhada memaklumkan dia kini bersama dua anaknya sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan.

Malah dia juga tidak menolak untuk terus menetap di Australia dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh masa terdekat.

Pada prosiding sebelum ini, media melaporkan meskipun Nurul Shuhada telah bertindak menarik balik kes, mahkamah dimaklumkan pendakwaan akan tetap meneruskan kes Hafidz tetap diteruskan.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada, 30, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi 2 Mac tahun lalu (2023) mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun.

Sumber: KOSMO! ONLINE

#Mahkamah #Pukul #Hafidz #Januari #Nurul #Kes #Roshdi #Shuhada #Hadir
;