Hiburan

Kes Pukul Bekas Isteri Diteruskan Dengan Perbicaraan, Hafidz Roshdi Kelihatan Sugul

gempak
Gempak
13/08/2024
05:44 MYT
Sponsor Banner
Kes Pukul Bekas Isteri Diteruskan Dengan Perbicaraan, Hafidz Roshdi Kelihatan Sugul
Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan 14 Oktober depan untuk sebutan semula surat representasi berhubung penarikan balik kes pelakon Hafidz Roshdi atas tuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri pada Mac lalu.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Hafidz Roshdi, 30, memberitahu, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan ketika sebutan semula di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib, pagi Isnin.
Bagaimanapun Akberdin turut berkata, pihaknya terkejut mendapat arahan kes diteruskan dengan perbicaraan.
"Mahkamah mengarahkan meneruskan kes, jadi saya beritahu Hakim yang kami terima laporan penarikan laporan polis daripada peguam Nurul Shuhada. Perkara ini dibuat dengan tertib.
"Kami terperanjat kes diarahkan diteruskan, tapi kami memang tidak buat surat selepas penarikan laporan.
"Jadi, sekarang saya akan buat surat secara rasmi dan lampirkan laporan memberitahu apa yang berlaku mengenai persetujuan sudah dicapai oleh kedua-dua pihak secara baik. Sebab kes sepatutnya sudah selesai secara global.
"Nurul Shuhada sudah menyatakan dia buat penarikan tanpa paksaan dan secara sukarela. Jadi, bila pengadu sudah katakan begitu, kenapa kami kena teruskan?
"Saya beritahu Hakim mungkin saya kena tulis surat secara rasmi pada pihak pendakwaan beritahu apa yang sudah berlaku dan kami akan tunggu jawapan. Hakim bersetuju dan menetapkan tarikh sebutan pada 14 Oktober depan sementara menunggu representasi yang saya akan buat," katanya.
Akberdin berkata, pada tarikh itu juga akan dimaklumkan keputusan kepada representasi yang dibuat.
Katanya, ia adalah tugasnya untuk menulis dan memaklumkan kedua-dua pihak sudah berdamai dan semua isu diselesaikan secara baik.
"Jadi, ia tidak adil kepada klien saya untuk teruskan. Memang Nurul Shuhada sudah cakap pada polis bahawa dia memang nak tarik balik, tiada paksaan dan ugutan," katanya.
Bagaimanapun, Hafidz enggan memberikan sebarang jawapan terhadap soalan yang diajukan oleh pihak media.
"No comment (tiada komen)," katanya yang kelihatan sugul.
Ditanya mengapa Nurul Shuhada memilih menarik balik laporan polis, Akberdin untuk menjawab mewakili Hafidz.
Katanya, ia atas persetujuan bersama dan bersifat peribadi.
"Memang persetujuan bersama di mana kedua-dua pihak sudah setuju untuk menyatakan ia sebagai 'private and confidential', jadi sebab itulah mungkin Hafidz tidak mahu kongsi kepada orang lain.
"Apa yang penting, laporan penarikan memang sudah dibuat pada 6 Julai lalu. Pihak polis sudah lakukan siasatan tambahan, panggil semula Nurul Shuhada," katanya.
Nurul Shuhada juga tidak hadir ke mahkamah untuk prosiding hari ini, dipercayai kini berada di Australia.
Pada 13 Mac 2023, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nurul Shuhada (ketika itu) dengan menumbuk pipi kiri wanita sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.
Hafidz dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Pasangan itu bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Julai tahun lalu.
Sumber - BH
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live