Gara-gara kes kemelut rumah tangga rakan-rakan selebriti kini menjadi perhatian, penyampai radio dan pengacara Nabil Ahmad mengakui sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada isterinya.

Menurut Nabil, dia tidak menyangka implikasi daripada kes melibatkan masalah rumah tangga itu menganggu emosi isterinya iaitu Nazirah Ayub.

“Doa saya tahun ini, hubungan suami isteri. Sebenarnya ujian kawan-kawan kita, memberi kesan kepada isteri. Dia jadi macam ‘eh you buat macam ini ke’.

“Sebab dia dah tengok benda ini dah berlaku. Setiap hari berita fasal orang buat hal, suami buat hal. Lepas itu orang share suami keluar dengan perempuan lain.

“Kita pun sejarah macam mana pula, bukanlah elok sangat. Saya rasa dasyatlah implikasi dia pada keluarga, pasangan suami isteri, memang terkesan,” katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun Nabil akan memastikan dia sentiasa menghubungi isterinya melalui panggilan telefon atau video setiap kali bekerja di luar.

“Tapi saya yakinkan kepada dia, saya cakap ‘I pergi kerja, balik kerja’. Selain itu, saya selalu call, facetime, beritahu dan update status ke mana saya pergi.

“Bagi dia berasa lega, yela orang perempuan perlukan keyakinan. Sebab banyak sangat keluar cerita, belum campur dengan orang biasa yang ada video suami keluar dengan perempuan lain.

“Saya pun tak boleh nak halang apa dia tengok. Benda itu pun ada di mana-mana. Kita boleh doakan setiap pasangan itu jumpa jalan terbaik,” ujarnya.

Nabil ditemui ketika sidang media program terbaharu Astro iaitu Family Feud Malaysia di Studio 1, Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.