Malang buat ‘hantu’ durian terutama jenis premium seperti Musang King dan Duri Hitam apabila jenis itu berdepan kenaikan harga sekali ganda pada musim durian tahun ini.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Menurut Ahmad Hamzah, kenaikan itu adalah disebabkan pengeluaran ‘raja buah’ itu dijangka berkurangan hampir 50 peratus akibat faktor cuaca.

"Kita percaya musim hujan pada penghujung Mac ke April lepas memberikan kesan pada penghasilan debunga durian, yang sekali gus memberi impak kepada jumlah pengeluaran buah.

"Kita jangka faktor itu akan menyebabkan jumlah pengeluaran berkurangan hampir 50 peratus di sesetengah negeri," katanya kepada Bernama.

Jelasnya selain faktor cuaca, kos baja dan pekerja yang meningkat turut menjejaskan pengeluaran durian.

"Setakat ini Pulau Pinang dan Perak sudah mengakui jangkaan kekurangan pengeluaran durian hingga 50 peratus malah persatuan penanam durian juga memberi laporan kemungkinan harga durian pilihan utama iaitu Duri Hitam dan Musang King akan dinaikkan, di samping durian kampung," katanya.

Menurutnya harga Duri Hitam dijangka mampu mencecah RM100 sekilogram manakala Musang King antara RM60 dan RM80 sekilogram mengikut gred, berbanding RM30 hingga RM40 sekilogram.

Beliau berkata penetapan had harga durian adalah di luar kawalan pihaknya dan bergantung kepada prinsip pengeluaran dan permintaan.

Sumber : Bernama