Namanya yang masih hijau di dalam industri hiburan, pengacara, pelakon dan penyampai radio Isha Norsham akui bukan mudah untuk menempa nama sebagai anak seni.

Biarpun sudah menceburi pelbagai bidang seni, gadis berusia 26 tahun itu percaya masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menambat hati orang ramai.

“Saya sudah cuba pelbagai bidang di dalam industri ini untuk menaikkan nama saya, namun saya tidak pasti di mana kurangnya dan saya akan terus melakukan yang terbaik.

“Saya bermula dengan bidang pengacaraan dan kemudian menceburi bidang lakonan.

“Ketika saya berlakon, pengikut saya bertambah dengan mendadak sekali, namun mula perlahan selepas habis tayangan drama tersebut.

“Memang saya akui agak mengambil masa yang lama untuk membina nama dan untuk dikenali ramai orang,” katanya ketika ditemui Gempak.

Isha membuat kemunculan sulungnya sebagai seorang pelakon menerusi drama bersiri original Astro, The Maid musim pertama tahun lalu.

Selain bertugas sebagai penyampai radio ERA dan hos Gempak TV, Isha antara individu yang aktif di laman TikTok.

Sementara itu, menjawab pertanyaan netizen apabila ada yang membandingkan Isha dengan penyampai radio baharu, Munaa Bella, Isha menjawab masing-masing mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Saya dan Munaa Bella, kami sangat rapat dan tidak bergaduh sesama kami.

“Seawal kehadiran saya di dalam konti, Munaa ialah orang yang terawal mengajar saya selok belok di sana.

“Dan bila soal jenama, kami berdua mempunyai kelainan kami tersendiri. Kami tidak pernah bersaing untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

“Masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing,” tambahnya ringkas.

Dalam pada itu, Isha turut mengulas komen netizen yang mendakwa lebih mengenali suara berbanding fizikalnya.

“Ada yang lebih mengenali suara saya berbanding diri saya kerana suara saya yang sering berkumandang di radio Era.

“Saya tidak kisah dan saya suka bila mereka menyukai suara saya, itu bermaksud mereka menyukai bidang kerja yang saya lukakan sebagai penyampai radio,” ujarnya lagi.

Isha Norsham bakal menemani pendengar setia radio ERA menerusi segmen Gempak Hit Era dari jam 1 hingga 4 petang.