Pengarah Mamat Khalid mengakui bersyukur apabila kerana keadaan jantung, buah pinggang dan paru-parunya sudah semakin stabil.

Menurut laporan Astro Awani, Mamat menjelaskan dia harus terus menjalani rawatan fisioterapi dengan pembantu perubatan yang datang ke rumahnya setiap hari untuk mengembalikan semula kekuatan kakinya yang lemah.

"Ketika koma, banyak otot saya yang kecut menyebabkan saya harus kembali membina otot dengan melakukan rawatan fisioterapi di rumah dengan bantuan MA (pembantu perubatan).

"Selebihnya, saya harus mengawal pemakanan selain menjalani kehidupan yang lebih sihat," kata Mamat.

Menurut Mamat, semasa koma, doktor turut melakukan rawatan dialisis padanya untuk membersihkan toksik yang ada dalam tubuhnya.

"Semasa dalam koma juga doktor 'membersihkan' toksik dalam tubuh saya. Alhamdulillah saya semakin sihat. Saya juga tidak sabar untuk menanti kedatangan bulan Ramadan," kata Mamat yang kini bebas daripada penderitaan radang paru-paru.

Pada Januari lalu, Mamat berada dalam keadaan kritikal ketika dirawat di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor selepas mengadu sakit dada dan batuk.

Mamat yang berusia 56 tahun berada dalam koma selama tiga minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mamat yang kini berkerusi roda juga memberitahu, berat badannya semakin susut sejak jatuh sakit.

"Namun begitu, saya bersyukur kerana keadaan saya semakin stabil. Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah kerana mengurniakan kesihatan yang baik buat saya. Terima kasih juga pada keluarga dan rakan-rakan yang tidak putus mendoakan saya," katanya lagi.

Menjelang Ramadan yang akan disambut awal bulan depan, Mamat juga sudah menyiapkan karya terbaharu untuk ditayangkan di saluran Astro.

Naskhah bertajuk "17 Puasa" itu merupakan telemovie komedi lakonan Sabri Yunus, Aziz M. Osman, dan Nasrizal Ngasri.