Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

KLP48 Dianggotai 13 Gadis Muda & Lincah, Sambung Legasi Kumpulan Idola Jepun AKB48!

Amri Hassan
28/07/2024 15:03 MYT
KLP48, kumpulan baharu yang berpangkalan di Kuala Lumpur diumumkan sebagai generasi pertama kepada kumpulan idola Jepun AKB48.

Selepas melalui sesi saringan ujibakat dan saringan selama tiga bulan, latihan intensif telah dilakukan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd, selaku pihak yang diberi kuasa oleh pemberi lesen kumpulan saudara luar negara AKB48 Superball Inc. untuk menguruskan kumpulan baharu itu.

KLP48 bukan sahaja tambahan terbaharu kepada empayar AKB48, tetapi juga kumpulan idola gadis pertama seumpamanya yang ditubuhkan dan berpangkalan di Malaysia dengan tumpuan di pentas antarabangsa.

Ahli generasi pertama KLP48 dianggotai oleh 13 individu, termasuk 7 rakyat Malaysia, 4 Jepun, seorang Indonesia dan seorang dari Hong Kong, China. Barisan ini terdiri daripada tiga perpindahan daripada AKB48 dan satu perpindahan daripada kumpulan STU48 yang berpangkalan di Jepun.

A post shared by KLP48 (@klp48official)


KLP48 legasi kesepuluh AKB48

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Superball Inc. dan Penerbit Am kumpulan AKB48 Nariaki Terada, berkongsi kegembiraannya mengenai pengumuman itu.

“Menyambut dan meraikan ahli generasi pertama KLP48 adalah detik mendebarkan yang menggariskan daya tarikan global AKB48 dan kumpulan saudaranya. Kami tidak sabar untuk menyaksikan KLP48 memulakan perjalanan pertama mereka untuk menjadi tumpuan ramai," katanya.

KLP48 ialah kumpulan legasi AKB48 yang kesepuluh di luar negara, bersama JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila), AKB48 Team SH (Shanghai), AKB48 Team TP (Taipei) dan CGM48 (Chiang Mai).

Pengarah 48 Entertainment Sdn Bhd, Yip Chun Huei, berkata: “AKB48 dan kumpulan saudaranya telah lama mendapat sokongan meluas peminat di Malaysia dan kami berharap peminat akan terus memberikan sokongan padu mereka kepada KLP48 juga. Dengan beberapa perancangan menarik yang diatur, ahli telah bekerja keras untuk mempamerkan yang terbaik, jadi nantikan apa yang akan dipersembahkan nanti.”



Jalur warna hijau

Seperti semua legasi Kumpulan AKB48, masing-masing dikenal pasti dengan jalur warna tersendiri. KLP48 telah diberikan warna hijau, yang berasal daripada jed Malaysia, merangkumi imej aura lembut, empati dan gabungan nilai yang berbeza.

Pada 18 Ogos, KLP48 akan menyertai AKB48, STU48, JKT48 dan QUADLIPS di konsert AKB48 Group Live in KL 2024 ~ First Cry ~.

AKB48 - dinamakan sempena lokasi teater mereka di Akihabara, Tokyo. Ia adalah cetusan idea penerbit muzik Yasushi Akimoto. Dengan permulaan pada tahun 2005, kumpulan idola itu telah muncul sebagai sensasi global dengan konsep unik, menampilkan persembahan teater harian yang memupuk hubungan yang kuat dengan peminat.

AKB48 telah melakar nama dalam World Book of Records sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia.

BERITA TRENDING: Kumpulan Popular Jepun, AKB48 Buru Bakat Hebat Di Malaysia!

BERITA TRENDING: Nihon Matsuri 2024: Festival Jepun Terbesar Kembali dengan Tarikan Baharu Yang Menarik!

#wanita #Jepun #Idola #Gadis #Group #AKB48 #KLP48