Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung Perkasakan Pelajar KPSK, UiTM

Izwan Isa
04/07/2023 07:50 MYT
Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) telah menetapkan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Maju Rakyat Berbudaya bersandarkan pendekatan budaya nilai tinggi yang ditunjangi tiga elemen utama iaitu tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan serta amalan nilai-nilai murni.

Justeru, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) di bawah kolaborasi Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Persembahan dan Pengajian Seni Liberal terpanggil untuk menganjurkan Konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung dan sekaligus memperkasakan pelajar KPSK, UiTM dalam memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air.

Ketua Pengajian Konservatori Muzik, Dr. Juriani Jamaludin berkata, konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung ini mampu memperkasa dan menyerlahkan bakat para pelajar KPSK.

“Hasil dari gabungan ketiga-tiga pengajian ini merupakan platform awal dałam mempersiapkan pelajar menuju ke alam pekerjaan dan sekaligus menyumbang kepada kerancakan dan kepelbagaian acara dalam memartabatkan seni budaya tempatan.

“Jadi, projek sebegini juga menjadi satu ruang untuk pelajar terus bereksplorasi dan bereksperimentasi bagi memperlihatkan kesungguhan dan kerja keras pelajar sehingga membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengajian Seni Persembahan, Dr. Norzizi Zulkifli, menekankan bahawa konsert bersifat tradisional ini merupakan satu produk yang memerlukan usaha sinergi semua pihak.

“Usaha ini ibarat irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan dan usaha ini haruslah berterusan dengan mengaplikasikan pelbagai strategi untuk diwar-warkan kepada generasi hari ini agar identiti atau jati diri bangsa dapat dikekalkan.

“Apa yang penting adalah sikap dan usaha untuk meneruskan persembahan tradisional agar kelestariannya dapat dipertahankan,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr. Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin berkata, konsert ini merupakan sebuah platform untuk melatih pelajar mengendalikan acara yang lebih besar dan bertanggungjawab menyelesaikan masalah secara kritis, kreatif, profesional dan yang penting mampu bekerja di dalam pelbagai situasi.

Hal ini membuktikan yang industri kita tidak ketandusan bakat terutamanya dalam bidang pengurusan acara dan pengurusan seni.

Menurutnya lagi, rentetan dari sesi pembelajaran selama 4 semester, para pelajar pengurusan seni dilihat mampu mengaplikasikan ilmu yang diperolehi di dalam tugas yang diberikan dan kita cuba untuk melahirkan generasi pelapis bidang pengurusan yang lebih holistik dan berdaya saing.

Konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung akan berlangsung pada 14 dan 15 Julai (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Konsert akan bermula pada pukul 8:30 hingga 10:30 malam.

Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung merupakan satu persembahan pentas yang mengangkat budaya muzik dan tarian tradisional Melayu seperti Asli, Inang, Zapin, Joget, Caklempong, Gamelan dan Canggung.

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah Bunga Tanjung (Asli), Zapin Panglima (Zapin Dayung), Inang Paku Lanang (Inang), Umpan Jinak Di Air Tenang (Joget), Ala Canggung (Canggung), Merbau Caklempong, Perang (Gamelan), Rajuk Rindu (Kontemporari Zapin) dan Ghazal Seri Mersing.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mewujudkan jaringan sinergi di peringkat Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Persembahan dan Pengajian Seni Liberal di samping menjadikan program ini sebagai penilaian akhir bagi kursus-kursus yang terlibat.

Untuk rekod, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) akan terus berusaha dalam memastikan penghasilan graduan seimbang yang kompetitif di peringkat nasional dan global serta memperkasa jaringan strategik dengan alumni dan industri, seterusnya dapat menyerlahkan potensi pelajar, tenaga kerja dan sekaligus membentuk modal insan yang mampu bersaing di masa hadapan.

Kemahiran insaniah seumpama ini adalah satu esensi bagi pelajar KPSK agar bakat mereka diasah dengan sebaiknya dalam memastikan kelestarian kualiti graduan KPSK, sejajar dengan Pelan Strategik UiTM 2025 ke arah Globally Renowned University 2025.

Untuk maklumat lanjut berkenaan program Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung”, boleh hubungi Nazifa, di talian 011 - 61314830 atau rujuk laman media sosial rasmi Instagram @chronicleproduction23.

BACA: Jacky Cheung Kalahkan Coldpay, Taylor Swift Buat Konsert 11 Hari Di Singapura

BACA: Suara Bak Supernova! 3 Jam, 24 Lagu, Tertanggal Kasut Antara Momen Magik Konsert Dimash Qudaibergen Di KL!​

#UiTM #Konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung
;