Penerbit Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia, Fauziah Datuk Ahmad Daud menyatakan komitmen untuk meneruskan penganjuran konsert itu.

Fauziah atau dikenali sebagai Ogy berkata, buat masa sekarang pihaknya sedang berbincang mengenai beberapa perkara termasuk mendapatkan lokasi persembahan yang baharu.

“Saya ambil maklum mengenai pertanyaan daripada beberapa pihak termasuk peminat yang sudah membeli tiket. Jadi, ingin dinyatakan saya selaku penganjur akan tetap meneruskan konsert sulung Khai Bahar ini.

“Seperti mana besarnya harapan peminat untuk menyaksikan konsert ini, begitu juga komitmen saya dan pasukan untuk merealisasikan persembahan ini yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi.

“Cuma, disebabkan insiden yang semua tidak dapat elak iaitu Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini membuatkan segala perancangan tergendala,” katanya.

Menurut Ogy, konsert yang sudah 80 peratus sedia dipersembahkan itu wajar diteruskan.

“Sebenarnya, sebelum segala aktiviti konsert dan persembahan hiburan dibatalkan, Khai dan pasukan sudah bersedia. Ketika itu hanya menunggu tarikh sebenar konsert saja.

“Malah, selepas ada kelonggaran diberikan pihak kerajaan, pasukan juga sudah menyatakan kesediaan untuk kembali begitu juga dengan Khai. Jadi, adalah tidak adil jika konsert ini tidak diteruskan.

“Jika semua perbincangan berjalan lancar, saya akan umumkan tarikh baharu persembahan. Insya-Allah kita nak buat sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Mengenai status lokasi di Istana Budaya (IB), Ogy berkata kapasiti yang dibenarkan tidak berbaloi dengan kos dibelanjakan untuk penganjuran konsert itu.

“Pihak IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru. Jadi, dengan segala kos yang perlu ditanggung, bagi saya ia tidak berbaloi.

“Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu mencari solusi terbaik. Memandangkan konsert ini tidak dibuat di IB, jadi nama konsert ini juga akan ditukar. Nama terbaharu juga akan diumumkan kelak,” katanya.

Terdahulu, konsert sulung Khai itu dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu di Istana Budaya.

Keputusan itu dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan hingga susulan penularan COVID-19.