HIBURAN
Kontroversi Hutang Mara, Rakan Jauhkan Diri Dari Che Ta - “Apabila Allah Beri Ujian, Kita Boleh Lihat Siapa …”
Pelakon Rozita Che Wan mengakui kontroversi berkaitan hutangnya dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyebabkan ada rakan-rakan yang menjauhkan diri daripadanya.
Rozita, 52, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, bagaimanapun tidak terkejut dengan situasi itu, malah menganggap ia sebagai ketentuan Allah untuk menunjukkan kebenaran.
“Mestilah ada yang menjauhkan diri. Apabila Allah memberikan ujian, kita boleh lihat siapa yang Allah menjauh daripada kita. Itu memang sudah ditentukan.
“Saya ambil perkara ini secara positif kerana setiap kejadian pasti ada hikmahnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana, hari ini.
Namun, ibu kepada tiga cahaya mata itu enggan mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan.
Sudah bebas hutang
Dalam masa sama, Che Ta mendedahkan bahawa dia kini sudah bebas daripada sebarang hutang, kecuali pinjaman perumahan.
BERITA BERKAITAN: “Sejak Saya Terkait Isu Panas, Banyak Brand Dah Confirm, Tapi Berlalu Sepi” - Rozita Che Wan
BERITA BERKAITAN: "Beruntung Ayu & Zaquan, Empat Orang Anak Syurga Sudah Menanti Di Sana" - Che Ta
“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Tiada apa-apa lagi (kaitan).
“Cuma saya masih ada hutang rumah yang perlu dibayar. Saya rasa itu perkara biasa kerana kebanyakan orang pun mempunyai komitmen seperti itu,” katanya.
Kekal tenang hadapi kontroversi
Ketika ditanya mengenai keputusannya untuk berdiam diri sepanjang kontroversi ini, Che Ta berkata, kematangan membuatkan dirinya lebih memahami cara terbaik untuk menangani sesuatu isu.
“Saya rasa tidak perlu tampil memberikan penjelasan kepada sesiapa. Saya tiada masalah dengan orang lain, jadi saya lebih selesa menyimpannya untuk diri sendiri.
“Mungkin kerana kini saya lebih matang, tambahan pula perkara ini melibatkan keluarga, terutama anak-anak.
“Mereka sendiri tertanya-tanya bagaimana saya boleh setenang ini. Saya hanya mampu menjelaskan bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuan mereka. Saya percaya Allah sentiasa ada,” ujarnya.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilaporkan telah diserbu oleh pihak Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan kegagalan melunaskan pinjaman berjumlah hampir RM1 juta.
Bagaimanapun, aktres itu dipercayai telah membuat pembayaran sebanyak RM550,000.