Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid di seluruh negara untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan Allah SWT supaya memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.

Memetik laporan Bernama, penganjuran ini berikutan peningkatan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di China dan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Baginda sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan wabak itu serta amat prihatin dan bimbang dengan keselamatan diri rakyat Malaysia yang berada di dalam serta luar negara susulan jangkitan 2019-nCoV.

“Seri Paduka menyeru kepada rakyat untuk memperbanyakkan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak-pihak berkuasa tempatan dan di kawasan-kawasan terjejas menangani gejala wabak ini.

“Semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sedia kala,” kata beliau kepada Bernama.

Baginda turut mengulangi nasihatnya supaya rakyat sentiasa mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini mengenai wabak 2019-nCoV hanya daripada saluran-saluran rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi kerajaan serta media arus perdana.

Seri Paduka juga sekali lagi menyeru kepada rakyat untuk sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan dan amalan kesihatan seperti yang digariskan KKM.

Terbaru, China mencatatkan angka kematian sebanyak 106 orang dengan pertambahan kes positif dijangkiti virus baharu itu sebanyak 4,428 orang.