Kumpulan Kristal bakal mengadakan RockRaya Showcase pada 28 April ini, bertempat di Zepp Kuala Lumpur sempena meraikan Aidilfitri bersama peminatnya.

Menurut pemain gitar utama kumpulan Kristal iaitu Rody, biarpun showcase itu dilakukan secara mengejut namun dia dan ahli yang lain berasa teruja untuk membuat persembahan di hadapan semua peminat.

“Boleh dikatakan ini gila show mengejut daripada pihak kami. Tapi walaupun mengejut, kami tetap bersemangat dan tak sabar nak buat persembahan selain meraikan Aidilfitri bersama peminat-peminat,” katanya kepada Gempak.

Selain Kristal, RockRaya Showcase yang dianjurkan oleh Amazing Creative Group Sdn Bhd turut mempunyai persembahan daripada kumpulan Naratu.

Tujuan RockRaya Showcase diadakan adalah untuk meraikan Hari Raya bersama band dengan peminat yang turut dapat nikmati muzik pop rock Malaysia dan muzik metal dengan hardcore.

Tiket sudah mula dijual melalui laman web Ticket2U dengan harga mengikut kategori antaranya ialah RM77 (Zon Raya - Berdiri), RM55 (PS 1 - Berdiri), RM44 (PS 2 - Tempat Duduk).

Untuk info, selain Rody, Kristal turut dianggotai oleh Ewal selaku vokalis, Kechiq (pemain bes) dan Acap (pemain dram).