Selebriti Hollywood Kylie Jenner akhirnya tampil bersuara berhubung tragedi di konsert festival Astroworld di Houston, Texas, Amerika Syarikat hujung minggu lalu.

BACA: Travis Scott Trending Di Twitter, 8 Terkorban Ketika Persembahannya Di Festival Astroworld

Insiden yang menyebabkan lapan kematian dengan mangsa termuda berusia 14 tahun itu dikritik apabila penganjurnya, Travis Scott didakwa tidak menghentikan konsert sebaik saja kejadian berlaku.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan lapan orang meninggal dunia dan ramai yang cedera apabila pengunjung konsert terbabit berhimpit-himpit, berasak dan melulu ke arah pentas ketika persembahan penyanyi rap itu.

Kylie yang kini sedang hamil turut hadir ke konsert terbabit bersama anaknya, Stormy Webster, 3, dan kakaknya, Kendall Jenner. Mereka yang dikawal oleh pengawal keselamatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Travis dan saya turut berdukacita atas tragedi yang berlaku. Doa saya buat mangsa dan keluarga mereka yang maut, cedera serta terkesan disebabkan apa yang telah berlaku kelmarin.

"Saya pasti Travis sangat mengambil berat akan peminatnya terutama komuniti di Houston.

"Saya mahu menjelaskan di sini bahawa kami tidak sedar kejadian yang berlaku hingga menyebabkan kematian itu sehinggalah berita disiarkan selepas persembahan dan semestinya kami tidak akan meneruskan persembahan andainya kami tahu.

"Kami tumpang bersedih atas kejadian ini terutama keluarga mangsa," katanya menerusi entri di Instagram Stories pada Ahad.



Ramai yang mengecam tindakan Travis, 30, dan penganjur acara terbabit apabila tidak menamatkan konsert terbabit apabila peminat yang hadir kelihatan bertempik memohon bantuan dan meminta agar persembahan dihentikan.

Sepotong video di The Washington Post menunjukkan konsert itu dihentikan selepas sejam apabila pengunjung konsert terbabit benar-benar dalam keadaan teruk.

Travis kelihatan memberhentikan seketika set lagunya sebanyak empat kali dan menerusi livestream di Apple Music, penyanyi rap itu meminta pengawal keselamatan membantu mangsa yang pengsan di hadapannya.

Sejurus berita tersebut tular, Travis memuatnaik ciapan di Twitter menyatakan dia turut terkesan dengan apa yang berlaku dan akan membantu keluarga mangsa yang memerlukan.

Festival Astroworld merupakan acara muzik tahunan anjuran penyanyi rap Travis Scott yang telah memasuki edisi keenam tahun ini.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!