Penyanyi Lan Solo bersyukur apabila perniagaan kedai runcit miliknya, Solo Borneo Mart semakin berkembang.

Kedai yang diusahakan bersama isterinya, Nur Sheila Hassim itu sebelum ini terletak di Puchong Prima, Selangor kini berpindah ke lokasi baharu di Bandar Bukit Puchong.

Menurut Lan, dia mengambil keputusan tersebut selepas perniagaannya mendapat sambutan ramai dan memikirkan tempat lebih selesa buat para pelanggan Solo Borneo Mart.

“Kami membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi baru ini kerana ingin mengembangkan perniagaan yang sudah dua tahun beroperasi. Tidak jauh pun, tidak sampai 10 kilometer pun.

“Syukur Alhamdulillah di atas rezeki yang diberikan Allah SWT ini. Kedai lama agak sempit, di sini ruang lebih besar dan luas.

“Pelanggan Solo Borneo Mart pun dapat membeli belah dengan lebih selesa nanti.

“Kalau dulu di tempat pelanggan nak membeli di situ jugalah kami letak stok barang. Di situ jugalah pejabat, kurang selesalah sikit.

“Bangunan baru ini lokasinya lebih strategik, ada stor penyimpanan barang dan pekerja pun akan lebih selesa,” katanya.

Tambah Lan, Solo Borneo Mart sudah mula beroperasi tetapi akan dibuka secara rasmi pada 16 September ini.

Solo Borneo Mart menjual produk makanan dan minuman dari Sabah dan Sarawak.

"Terima kasih kepada yang telah memberikan sokongan kepada Solo Borneo Mart selama ini. Kami juga ingin berkongsi rezeki dengan anda semua.

"Solo Borneo Mart mahu membuka peluang peluang kepada usahawan Borneo yang ada di Semenanjung untuk bersama-sama memperkenalkan barangan keluaran Borneo di Semenanjung," katanya teruja.