Bintang program realiti Big Stage dan penyanyi Sissy Imann sekali lagi tampil dengan karya terbaru berjudul Bisa Mencinta.

Menariknya kali ini, Sissy buat julung kalinya bakal membawa single bergenre balada untuk para pendengar.

Cubaan lagu balada pertama menerusi siri Joox Originals ini sekali gus menampilkan sisi berbeza yang lebih matang penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini.

Menurut Sissy, Bisa Mencinta mampu mengubah persepsi para pendengar dengan kemampuan Sissy membawakan pelbagai jenis muzik.



“Masih mengekalkan cara nyanyian dan elemen unik Sissy di dalam gubahan muzik, lagu ini juga menjadi penanda aras kematangan saya dalam dunia nyanyian.

“Menerusi siri JOOX Originals ni, saya dapat peluang untuk cuba genre baru.

“Kalau sebelum ini keluarkan lagu yang rancak-rancak sahaja, inilah masa untuk saya cuba sesuatu yang baru.” kata Sissy.

Tambah Sissy, dari segi vokal sememangnya sangat mencabar, namun dia menjanjikan persembahan dan penyampaian terbaik.

“Saya sahut cabaran ini dengan baik,” katanya.

Bisa Mencinta boleh didengari secara eksklusif di aplikasi Joox dan muzik video rasmi boleh ditonton di saluran Joox Malaysia.