Pelakon terkenal Korea, Lee Dong Wook sama sekali tidak menyangka drama Goblin menjadi begitu popular diseluruh Asia.

Memegang watak sebagai malaikat maut dalam drama tersebut, Lee Dong Wook berkata dia berterima kasih terhadap sokongan yang diberikan.

Malah dia juga menyatakan rasa gembira kerana watak lakonannya berjaya mendapat tempat di hati peminat.

“Drama ini bergenre fantasi, banyak teknik kesan khas yang perlu dilakukan dan ia mengambil masa yang agak lama.

“Tetapi yang membuatkan drama ini berjaya ialah hubungan baik dan keserasian yang diwujudkan oleh setiap pelakon dan juga kru produksi membuatkan kami berjaya menamatkan drama ini dengan suasana gembira.

“Pada mulanya, waktu pertama kali drama ini ditayangkan, saya tidak pernah menyangka Goblin akan mendapat perhatian sebegini hebat sehingga menjadi popular.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang memberikan sokongan dan menyukai drama ini lebih daripada sangkaan saya. Terima kasih.

“Kami telah menghakhiri tahun 2016 dan memulakan tahun 2017 dengan Goblin. Saya harap Goblin menjadi sebuah drama yang amat bermakna di hati penonton,” katanya.

Lee Dong Wook berkata demikian menerusi sebuah mesej video khas untuk peminat yang dimuatnaik oleh syarikat pengurusannya, KingKong Entertainment pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Lee Dong Wook juga berjanji akan kembali dengan lakonan yang lebih mantap.

“Saya harap di tahun 2017 ini, anda semua akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan gembira.

“Saya akan kembali menemui peminat semua dengan lakonan hebat dan imej yang lebih segar.

"Saya juga berharap agar Goblin dan watak saya sebagai malaikat maut memberikan impak terhadap penonton,” ujarnya mengakhiri ucapan.

Teks oleh: Mya Amri