Lelaki yang dikatakan bergelut dengan penghantar makanan di ibu kota semalam tampil mendedahkan yang dia telah membuat laporan polis pada hari kejadian.

Menerusi laporan polis yang dimuat naik di platform X, lelaki itu berkata dia menyedari tentang hal berkenaan selepas rakan-rakannya memberitahu yang rakaman video memperlihatkan pergelutannya bersama penghantar makanan itu viral di Facebook.

“Di dalam video tersebut tentang pegawai keselamatan tidak membenarkan rider untuk masuk menghantar barang beliau di lobi utama. Perkara tersebut telah selesai dan kali kedua rider tersebut mendapat arahan daripada penama untuk menghantar barang di lobi utama.

"Telah berlakunya pergaduhan mulut antara security dan rider tersebut. Selepas kejadian itu rider cuba untuk menyerang security tersebut dengan tangan ke leher security itu tetapi saya sempat menghalang dengan menjatuhkan rider tersebut," katanya.

Menurutnya, penama wanita yang disebut dalam laporan turut menyebarkan video berkenaan ke Facebook dengan fakta yang didakwa tidak tepat.

“Video yang viral adalah tidak benar dan hanya merakam separuh sahaja. Perkara tersebut telah diselesaikan dengan cara baik antara rider dan security. Tujuan saya membuat laporan polis adalah covering dan menafikan video tersebut, takut terjadi apa-apa kepada diri saya, keluarga dan risau menjejaskan pekerjaan saya di kemudian hari," katanya lagi.

BERITA TRENDING: Rider Bergelut Dengan Pengawal Keselamatan Gara-Gara Tak Boleh Naik Hantar Makanan​