Lelaki berstatus bujang yang mengambil anak angkat perempuan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Pengasas dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami, Siti Nursuraya Ali berkata, tindakan itu adalah berbahaya dari segi keselamatan terutama terhadap kanak-kanak tersebut.

Katanya, terdapat selebriti lelaki yang mengambil anak angkat perempuan untuk dijaga dan tinggal bersama di dalam satu rumah.

“Saya sendiri pernah membuat beberapa laporan kepada Bahagian Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana ada saya melihat selebriti lelaki bujang mengambil anak angkat perempuan di mana benda itu adalah tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang di Malaysia atas faktor keselamatan.

“Jadi macam mana budak itu boleh berada dalam jagaan selebriti bujang ini? Siapa yang benarkan? Dia melalui proses apa?

“Adakah pihak JKM atau pihak JPN terlepas pandang? Atau pun selebriti ni dia ambil anak angkat orang lain yang mana anak itu didaftarkan kepada ibu angkat lain, tetapi si selebriti bujang ini mengaku itu anak dia?,” soalnya menerusi satu temu bual di sebuah stesen radio tempatan baru-baru ini.

Selain itu, Siti Nursuraya mendedahkan terdapat juga selebriti yang mengambil anak angkat ini bagi tujuan meraih populariti.

“Ada juga kes yang mana anak angkat mereka itu diambil semula oleh JKM walaupun individu tersebut sudah berkahwin.

“Mereka ambil anak angkat dan gunakan anak itu untuk raih populariti di media sosial. Kami buat laporan dan memang terbukti.

“Ada juga video individu yang popular di media sosial menunjukkan budak itu dicubit, diketuk, dicucuk untuk memastikan budak tersebut menangis bagi meraih simpati,” dedahnya.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, ramai turut mempersoalkan mengapa golongan selebriti atau VVIP mudah melepasi proses untuk mendapatkan anak angkat berbanding individu biasa yang lain.

“Yang peliknya pasangan dah berkahwin lama yang nak ambil anak angkat sangat rumit nak dapatkan, banyak proses. Tetapi selebriti senang-senang sahajaj dapat, kembar lagi. Adakah sebab duit?,” soal Siti Aisyah.

“Saya pernah mohon untuk dapatkan anak angkat lepas tiga tahun baru berjaya. Kadang saya lihat, ada selebriti minggu lepas luah rasa sunyi teringin nak ada kanak-kanak di rumah, selang seminggu dah tunjuk gambar bayi, kapsyen lega proses anak angkat dipermudahkan, sekejap sahaja. Buat saya termenung panjang, jauh betul nasib kita,” luah Rosilla.

Sumber: Kosmo!