Pelakon Tiz Zaqyah menyatakan pendiriannya terhadap khabar terbaharu mengenai isu seorang pesalah pedofil yang dibawa pulang ke Malaysia.

Kata Tiz situasi itu tidak adil apabila masyarakat menerima pesalah itu dengan hati terbuka sementelah berbeza layanan terhadap golongan artis yang dikecam ekoran tidak bertudung.

"Sebab itu I cakap, lelaki sah pedofil korang sambut, apabila lelaki kantoi video lucah, korang sambut. Merebut nak tengok.

"Doktor ke, atlet ke, pelakon ke, tak pakai tudung korang serang sampai ke neraka. Jijik sangat aku tengok mentaliti korang ni," luah Tiz menerusi akaun Twitternya.

Situasi itu menarik perhatian netizen untuk mengemukakan hujah masing-masing berhubung perbandingan situasi dan individu yang pelakon drama bersiri Nur Kasih itu maksudkan.

"Saya tak setuju pedofil itu dibawa pulang ke Malaysia. Kalau dia terlepas di tempat awam, habis anak-anak kita jadi mangsa kerakusan dia. Minta dijauhkan.

"Sebut tentang mentaliti, memang betul mentaliti masyarakat kita tengah sakit. Masing-masing sibuk nak jadi Tuhan," tulis salah seorang pengguna.

"Betul tu. Emma Maembong buka tudung pun dinerakakan. Dikutuk habis-habis dengan lelaki Melayu Islam. Dia buka tudung ke itu hal dia," tambah pengikut Tiz yang lain.




Namun, ada juga yang kurang bersetuju dengan kenyataan terbabit.

"Semua salah sebenarnya. Tak pasti kenapa perkara ini dijadikan satu topik," soal pengguna lain pula.