Laman Utama
Lepas Kecoh Lamar Amelia Henderson Depan Peminat, Aedy Ashraf Terus Kunci Mulut!
"Kalau hal peribadi saya tak mahu komen," demikian reaksi pelakon Aedy Ashraf ketika ditanya mengenai video melamar Amelia Henderson menjadi kekasihnya yang tular baru-baru ini.
Terus mengunci mulut untuk mengulas mengenai lamaran terbuka di sebuah acara festival makanan di ibu negara baru-baru ini, Aedy hanya mahu berkongsi perkembangan karier lakonannya kepada wakil media.
Aedy ditemui pada majlis sidang akhbar secara maya drama terbaharunya, Bila Hati Memilih Dia pada Selasa.
Sebelum ini, sepotong klip video Aedy melamar Amelia untuk menjadi kekasihnya tular di media sosial TikTok.
Dalam klip terbabit Aedy melulut di hadapan Amelia sambil bertanyakan kesudian aktres itu untuk menjadi teman wanitanya.
Aedy dan Amelia sebelum ini juga pernah digosipkan bercinta selepas bergandingan dalam drama bersiri Kisah Cinta Kita tahun lalu. Namun, kedua-duanya menafikan perkara tersebut.