Gara-gara kerap berkongsi mengenai kebaikan dan keperluan mengambil vaksin Covid-19, Pencetus Ummah (PU) Amin kini menerima tuduhan berat apabila dikatakan telah dibayar oleh pertubuhan sulit Yahudi atau freemason.

Perkara itu didedahkan PU Amin menerusi satu posting di Instagram Storynya sebentar tadi.

“Ada yang kata saya dibayar oleh freemason dengan harga RM20,000 sebulan untuk ajak orang ambil vaksin.

“Wow tapi baik RM100,000 sebulan kaya kot. Tak apa malam ni pukul 10 malam saya live dengan Mat Dan kita bongkar.

“Korang join sekali malam ni tau,” katanya.

Tambahnya, hukum vaksin adalah harus dan ia juga mengikut saranan ilmuan agama dan perubatan.

“Bila kita ni jahil (termasuk saya) maka kita ikut saranan ulama dan pakar berubatan.

“Tanggungjawab saya menyampaikan manfaat vaksin telah selesai. Kita tak taksub vaksin pun tapi itu saja cara klinikal ini bagi bendung wabak supaya tak jadi ganas,” katanya.

Sekadar info, PU Amin menjadi tumpuan ramai apabila memuat naik hantaran memaparkan sijil vaksin berusia lebih 120 tahun yang dipercayai dikeluarkan pada zaman empayar Turki Uthmaniyah.

Menerusi hantaran itu juga, PU Amin berkata, sijil-sijil tersebut dikeluarkan di Istanbul sekitar tahun 1900.

BACA: “Bersederhana Dalam Menghukum, Vaksin Itu Ikhtiar” – PU Amin Tunjuk Sijil Vaksin Empayar Uthmaniyah