Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#ListenToAided: Lima Penyanyi Menyerlah Tahun Ini, Anda Peminat Siapa?

Asraf Aided
29/12/2021 14:30 MYT
Meskipun pandemik COVID-19 masih melanda, industri hiburan terus diwarnai dengan banyak karya , diikuti pelbagai persembahan fizikal (secara berperingkat bergantung kepada SOP) dalam norma baharu tahun ini.

Kita sememangnya boleh berbangga dengan anak-anak seni yang meraih kejayaan dan populariti setimpal dengan hasil kerja keras masing-masing.

#ListenToAided hari ini menyenaraikan lima penyanyi yang semakin menyerlah dalam tahun 2021.

Kaka Azraff



Anak saudara Ratu Rock Ella ini melakar kejayaan apabila bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerusi lagunya bersama Noki dan Loca B berjudul Gila.

Penulis yakin ramai yang sudah menjangka lagu tersebut akan menang, tambahan lagi cara penyampaian Kaka di pentas AJL35 benar-benar 'Gila'! Sangat hebat dan memukau!

Selain namanya semakin kukuh susulan kemenangan di AJL35, Kaka juga tampil berduet dengan penyanyi asal Brunei yang menetap di Indonesia, Jaz menerusi lagu Karma.

Digubah oleh Farouk Roman dan ditulis Aisha Retno, lagu di bawah naungan Sony Music Entertainment Malaysia itu jelas menampilkan kelainan dalam profil nyanyian kedua-dua penyanyi tersebut.

BACA: Kaka & Jaz Sama-Sama Tampilkan Sisi Berbeza

Aina Abdul



Tuan empunya diri bukan calang-calang. Aina Abdul sememangnya lain dari yang lain. Ya, tidak melampau rasanya jika penulis berkata begitu.

Lontaran vokal lantang, mantap dan berkelas tinggi dimiliki penyanyi ini, diikuti fesyen unik dan berani membuatkan penjenamaan Aina Abdul semakin gah di persada hiburan tanah air.

Penyanyi berusia 28 tahun ini berjaya merangkul tiga trofi di AJL35 untuk kemenangan di tempat kedua, diikuti dua lagi trofi juga untuk dirinya sendiri selaku komposer dan penulis lirik.

Antara yang terbaru, Aina baru sahaja selesai mengadakan showcase ulung, A Night With Aina Abdul selama dua hari pada 16 dan 17 Disember lalu.

Menariknya tentang showcase tersebut, ia dihadiri oleh selebriti bernama besar seperti Hael Husaini, Ziana Zain, Ella, Rozita Che Wan, Noryn Aziz dan ratusan peminat Aina.

BACA: #ListenToAided: Aina Abdul Semakin Menyerlah - "Saya Tak Kisah Orang Cakap Saya Artis Pertandingan!"

Shiha Zikir



Meskipun namanya bukan lagi baharu dalam industri, namun penulis berpendapat nama Shiha lebih menyinar tahun ini.

Mengenali Shiha, dia tidak akan mengaku perkara tersebut kerana penyanyi kelahiran Pulau Pinang ini sentiasa membumi. Shiha selalu berpendapat ramai lagi orang lain yang lebih hebat berbanding dirinya.

Namun, lihat sahaja pembabitan Shiha dalam industri, dia ada di sana sini! Selain mewakili penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu 7 Nasihat di AJL35, Shiha juga merupakan salah seorang juri program All Together Now Malaysia musim pertama.

Itu belum lagi disentuh tentang single, filem, pengacaraan dan pembabitan dalam program-program lain.

Antara yang terbaru, Shiha tercalon dalam empat kategori untuk Anugerah MeleTOP ERA (AME2021). Ia merupakan kali pertama Shiha mendapat pencalonan dalam acara besar sebegitu.

Yonnyboii



Meskipun baru menjejak kaki dalam industri hiburan pada tahun 2019, namun rapper Yonnyboii sudah tampil dengan pelbagai karya yang terdiri daripada kemunculan solo, kolabarasi, termasuk lagu yang dicipta untuk penyanyi lain.

Namanya mula meledak menerusi kemunculan bersama penyanyi Zynakal dalam lagu berjudul Sakit dua tahun lalu.

Hasil penulisan Yonnyboii pula mudah difahami, jelas dan masih tidak lari daripada percikan seni, sesuai dengan selera penggemar muzik masa kini.

Tahun ini, Yonnyboii tampil berkolaborasi dengan Asyraf Nasir, dan Zynakal menerusi lagu Tak Sangka.

Bukan itu sahaja, Yonnyboii juga membuat percaturan berani melancarkan album berjudul Yonny (Deluxe Version) pada Ogos lalu. Album tersebut menghimpunkan sembilan karya dari album mini terdahulu, ditambah dua lagu baharu iaitu Tak Sangka dan Angel.

Beralih ke sisi peribadi, pemilik nama lengkap Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, itu baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Nik Nazira pada bulan lalu.

BACA: Yonnyboii Nikahi Nik Nazira, Ramai Terkejut Tiba-Tiba Dah Selamat Bergelar Suami Isteri

Noki K-Clique



Jika sebelum ini nama rakan sekumpulannya MK dan Tuju lebih mendapat perhatian, tahun 2021 memberi giliran kepada Noki untuk lebih menyerlah.

Selain menang di AJL35 bersama Kaka dan Loca B, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 27, merupakan salah seorang juri ATNMY bersama ramai lagi artis popular tempatan.

Bukan itu sahaja, Noki juga menerima tawaran atas pergerakan solonya untuk bergelar pelakon dalam tahun ini.

Jika diperhatikan, imej Noki juga semakin menarik jika dibandingkan dengan kemunculannya dahulu, mungkin bentuk tubuh yang kini lebih sasa menjadi satu bonus kepasa pakejnya.

Demikianlah lima penyanyi yang semakin menyerlah dan wajar menerima pujian atas dasar usaha dan pencapaian mereka.

Semestinya ramai lagi penyanyi berbakat yang sudah bertapak kukuh, mahupun yang baru mencipta nama di negara kita.

Semoga mereka terus kreatif dalam menghidupkan dunia hiburan di Malaysia!

#Shiha Zikir #Kaka Azraff #Aina Abdul #K-Clique #Yonnyboii #ListenToAided #Noki #Kolum Muzik
;