Gabungan dua penyanyi dari Malaysia dan Indonesia, Kaka Azraff dan Jaz semestinya memberi aura yang berbeza menerusi lagu duet terbaru mereka yang berjudul Karma.

Digubah oleh Farouk Roman sementara liriknya ditulis oleh Aisha Retno, lagu ini berjaya membawa kelainan terutamanya dalam profil nyanyian Kaka dan Jaz.

Manakan tidak, mereka sebelum ini sudah selesa dengan genre masing-masing yang telah menjadi identiti nyanyian.

Berkongsi mengenai pembabitannya, Kaka mengakui keindahan lagu Karma menjadi penyebab utamanya untuk bersetuju dengan projek terbabit. Meskipun rakaman bersama Jaz dibuat berasingan, menurutnya hal itu tidak menjadi penghalang. Paling penting, dia bersyukur apabila dapat menunjukkan sisi berbeza dalam nyanyiannya.

“Paling meyakinkan saya adalah melodi serta susunan muzik itu sendiri memang sedap. Saya rasa ia sebuah lagu balada dan runut bunyi yang sangat berkualiti. Sebenarnya saya tiada berjumpa dan berhubung dengan Jaz. Kami merakamkan lagu ini secara berasingan memandangkan dengan keadaan dan Jaz terima audio yang sudah ada rakaman vokal saya.

“Karma sangat berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini. Saya sendiri tidak pernah terbayang akan nyanyikan lagu sebegini. Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan keputusan menyanyikannya.

"Sebenarnya ia menunjukkan sebuah sisi lain Kaka Azraff kerana ini lagu balada pertama yang benar-benar menunjukkan vokal saya yang dibantu oleh Afif Tirmizie selaku pengarah vokal saya yang memudahkan nyanyian saya,” katanya.

Bagi penyanyi kelahiran Brunei, Jaz atau nama sebenarnya Muhammad Abdul Aziz Mubarak yang kini bertapak di Indonesia, sangat berbesar hati apabila diberi peluang terbabit dalam projek ini. Apalagi, digandingkan pula dengan Kaka yang sememangnya sudah cukup kukuh namanya di persada muzik Malaysia.

“Saya sangat berterima kasih dengan peluang diberikan Sony Music Malaysia untuk berduet dengan penyanyi Malaysia, Kaka. Ia satu penghormatan yang sangat bermakna buat saya terbabit dalam projek ini kerana ia jauh berbeza dengan projek lain pernah saya jayakan sebelum ini,” katanya.

Sebagaimana Kaka,Jaz juga menganggap projek ini menjadi satu lagi transisi penting dalam karier nyanyiannya. Sudah terbiasa dengan genre ringan dalam karyanya selama ini, lagu Karma jelas memberi suapan baharu buat konteks nyanyiannya. Apapun, dia tidak menafikan rakaman lagu ini ada cabarannya tersendiri sewaktu melunaskannya.

“Kebiasaan lagu saya adalah yang berentak santai dan riang. Namun, menerusi lagu ini, saya benar-benar melakukan sesuatu yang di luar genre sendiri. Bahagian paling susah adalah harmoni antara nyanyian kami berdua. Terima kasih pengarah vokal saya, Danish yang banyak membantu melancarkan nyanyian saya.

“Tentunya memang sangat mencabar buat saya. Ia sebuah lagu balada yang perlu penjiwaan berat di mana saya sendiri secara peribadi lebih terbiasa dengan melodi riang. Alhamdulillah, saya sudah mendengar hasilnya dan sangat berpuas-hati. Mudah-mudahan lagu ini bakal diterima baik pendengar di Malaysia,” katanya lagi.

Karma boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Muzik video rasminya pula akan menemui anda tidak lama lagi!