Datuk M.Daud Kilau yang menjalani prosedur pembedahan angioplasty, pada Jumaat lalu dilaporkan semakin stabil.

Anak keduanya, Ahmad Zaini Muhammad Daud, 49, berkata, prosedur itu memakan masa empat jam dengan tiga salur darah bapanya dimasukkan alat sten.

"Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan lancar bermula pukul 5 petang hingga 9 malam, semalam. Alat sten dimasukkan ke dalam salur darahnya dan sekarang keadaan ayah sudah mula stabil," katanya seperti di laporkan Harian Metro.

Terdahulu, Ahmad Zaini berkata, bapanya mempunyai masalah injap jantung sempit dan dimasukkan ke IJN, pada Isnin lalu.

Media sebelum ini melaporkan, penyanyi veteran itu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) di Teluk Intan selepas mengadu sesak nafas.

Penyanyi lagu hit Sirih Pinang, M Daud Kilau atau Muhammad Daud Kilau itu berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu.

Beliau yang mempunyai kencing manis kini sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang juga sakit selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran.