Seorang usahawan wanita, Aien Suraya terkejut apabila menjumpai seutas gelang dan sebentuk cincin emas di dalam perkakas dapur Air Fryer di rumahnya.

Kongsi Aien, gelang itu sebenarnya sebahagian daripada kejutan oleh suaminya beberapa bulan lalu.

"Sudah tiga bulan tak guna. Hari ini baru nak guna tengok-tengok ada surprise dari Encik Husband. Allahu!

"Tanya dia bila lagi letak, rupa-rupanya sudah dua bulan dia letak dalam tu tunggu sampai saya buka.

"Lepas buka tu terkejut jugalah. Seronok sangat! Tak tahu pula hadiah itu sempena apa," ceritanya kepada Gempak.

Tambah Aien, dia menemui pemberian suaminya itu ketika mahu menggoreng nugget untuk anaknya.

Ketika menemui hadiah terbabit, suaminya, Izat Al Hafiz hanya tertawa kerana penantiannya untuk melihat reaksi isterinya akhirnya direalisasikan biarpun selepas dua bulan.



Aien yang mengusahakan perniagaan tudung bawal taste di Kota Bharu, Kelantan itu turut berkongsi kisahnya itu di page rasmi Facebook Resepi Air Fryer pada Khamis dan kisah itu tular menjadi sebutan ramai.

Selain cemburu dengan 'kejutan' suami Aien, ramai juga dalam kalangan warganet yang mahukan kejutan sama dari suami masing-masing.

"Kalau suami saya, harus bagi hint sampai buka air fryer itu. Bagus suami awak ni. Rezeki tu," puji Noor Anina.

"Tabah suami dia menunggu isteri buka air fryer tu dua bulan ye," tambah Siti NurHanna.

"Wah! Macam magik pula, buka-buka dapat hadiah. Nak macam tu jugalah," sahut Khairumuna Rusdi.

Namun, tidak terkecuali juga ada yang menganggap kisah yang dikongsikan itu tidak betul dan pengguna berkenaan sengaja meletakkan barang kemas terbabit di dalam air fryer miliknya.