Baru-baru ini, pendakwah bebas, PU Riz meraih anugerah Gandingan Serasi Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Ke-34 (ABP34) menerusi lakonannya bersama pelakon dan penyanyi Wanna Ali dalam filem Ada Apa Dengan Dosa.

Menerusi laporan media tempatan, suami kepada usahawan tersohor Neelofa itu memberitahu bahawa dia tidak menolak jika ditawarkan untuk berlakon pada masa akan datang.

Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Haris Mohd Ismail itu, kemenangan pertamanya pada majlis anugerah berkenaan tidak sama sekali menjadi noktah terhadap karier seninya.

Bagaimanapun, kongsi PU Riz, pilihan watak yang sesuai adalah perlu agar naskhah yang dibintanginya sentiasa berlingkar pada paksi kisah dakwah dan berkonsepkan Islamik.

Dalam pada itu, PU Riz turut menjelaskan yang dia tidak mahu terus menghilangkan diri daripada radar seni hiburan. Katanya, dia kini sibuk memikul tanggungjawab bertugas sebagai guru sementara selain mengelolakan perniagaannya.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan oleh netizen di sebuah forum hiburan, ada yang menyifatkan kenyataan PU Riz sebagai bertentangan dengan aktiviti dakwah yang sering dilakukannya seharian.

“Macam ni tak kira hipokrit ke? Kemain nasihat orang kiri kanan tapi kau lepas dapat award, terus nak berlakon dunia lagho balik. Buat malu jelah dia ni,” tulis seorang netizen.

Sementara itu, ada yang menyifatkan PU Riz sebagai seorang individu yang gila glamor.

“Pigidah kau memang gila glamor. Nak masuk Hero Remaja tak dapat kan,” ulasnya.

Selain itu dikritik tentang dunia lakonan, kemampuan PU Riz dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru sementara turut dipersoalkan. Ujar netizen, gaya bahasanya dalam bahasa Melayu agar carca marba dan tunggang langgang.

Untuk rekod, PU Riz bergelar guru sementara di sebuah sekolah menengah di ibu kota dan mengajar subjek Bahasa Inggeris serta Pendidikan Islam jika diperlukan.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!