Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masih belum mengetahui lokasi sebenar persembunyian usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai lokasi persembunyian ahli perniagaan itu yang kini dikehendaki pihak berkuasa selepas waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu.

"Secara rasmi, kita belum tahu di mana lokasi beliau.

"Kita serahkan sepenuhnya kepadanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan ke atas usahawan kosmetik itu dan menunggu perkembangan lanjut mengenainya," katanya ketika ditanya perkembangan terkini Muhammad Sajjad.

Pada 23 Februari lalu, Muhammad Sajjad, 36, diburu pihak berkuasa selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan susulan gagal hadir sebutan semula kesnya bagi pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Sajjad didakwa bersembunyi di Thailand dan terbaru, beliau dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memaklumkan Muhammad Sajjad yang juga saksi kes itu dikehendaki hadir prosiding perbicaraan di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.